BUTTERWORTH – Kanak-kanak perempuan yang diselamatkan di Sungai Dua,
di sini dalam keadaan kelaparan, Khamis lalu, dipercayai dibiar tinggal
bersendirian di rumah kosong tanpa bekalan elektrik dan air sejak
November tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman
Ibrahim berkata berdasarkan siasatan polis mendapati kanak-kanak itu
dikurung di rumah sewa lama keluarganya dan diberi makanan dan minuman
sekali-sekala sahaja.
“Dia dibiar tinggal di situ bersendirian. Dia tidur, buang air besar dan kecil di bilik dia dikurung sejak November tahun lepas.
“Tiada sesiapa termasuk jiran di kawasan flat berkenaan menyedari
kanak-kanak itu dikurung di rumah sewa yang sebelum ini keluarga mangsa
pernah tinggal kerana tidak pernah dengar suara orang menangis atau
meminta tolong serta ia gelap,” katanya kepada pemberita selepas melawat
kanak-kanak itu di Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.
Kanak-kanak perempuan murid Tahun Satu itu ditemui dalam keadaan
lemah dan kelaparan di sebuah rumah yang tidak mempunyai bekalan air dan
elektrik selepas seorang guru membuat laporan polis mengesyaki sesuatu
berlaku selepas dia tidak hadir ke sekolah.
Abdul Rahman berkata kanak-kanak itu kini ditempatkan di wad
kanak-kanak Hospital Seberang Jaya dan dari segi kecederaan luaran
doktor mengesahkan hanya terdapat kesan lebam tetapi tiada kesan
kecederaan akibat didera.
Beliau berkata polis telah mendapat perintah lanjutan reman selama
tiga hari terhadap bapa kanak-kanak itu dan polis juga telah mengambil
keterangan ibu tiri kanak-kanak itu Sabtu lepas.
“Kertas siasatan hampir siap dan mungkin esok kami akan serah kepada
Ketua Unit Pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. Mungkin kami akan
dakwa Rabu ini,” katanya.
Beliau berkata setakat ini polis masih gagal mengesan ibu kandung
kanak-kanak berkenaan yang dipercayai telah pulang ke Indonesia. –
BERNAMA