Kaunter Bergerak Mudahkan Rakyat Kedah - #MukhrizMahathir


ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah berkeyakinan kutipan hasil tanahnya bakal meningkat berikutan langkahnya memperkenalkan perkhidmatan kaunter bergerak di empat kawasan negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kaunter bergerak itu akan beroperasi di kawasan berpenduduk ramai – Kota Setar, Kulim, Baling dan Kuala Muda.

“Sebelum ini kami menerima rungutan tentang kesukaran membuat bayaran kerana tempat jauh dan lain lain, tetapi kini dengan kaunter bergerak ia akan memudahkan pembayaran dan saya yakin kutipan hasil tanah negeri juga akan meningkat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kaunter bergerak kutipan hasil tanah itu di Wisma Darul Aman, di sini hari ini, beliau meminta orang ramai menggunakan perkhidmatan kaunter bergerak itu sepenuhnya.

Menurut menteri besar, semua jenis bayaran hasil tanah boleh dibayar di kaunter bergerak itu, manakala lokasi kaunter akan dihebahkan menerusi media sosial dan sebagainya bagi kemudahan orang ramai.

Perkhidmatan kaunter bergerak hasil kutipan tanah itu katanya, akan diperluaskan ke kawasan lain sekiranya ada permintaan. – BERNAMA