Kebencian Terhadap Umat Islam Meningkat Di Eropah


Tindakan berlandas kebencian terhadap orang Islam mencapai kadar mencemaskan di banyak negara Eropah bulan lepas, kata badan pemerhati Islamophobia Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Badan dikenali sebagai Islamophobia Observatory itu berkata jumlah kejadian di Perancis, Sweden dan Jerman begitu tinggi dan semakin membimbangkan jika dilihat daripada jumlah orang Islam yang menjadi mangsa.

“Di United Kingdom, jumlah wanita Islam yang dilaporkan menderita akibat jenayah kebencian meningkat sebanyak 10 peratus, manakala jumlah kes serangan dalam bentuk cacian dan ancaman terhadap orang Islam pada umumnya meningkat sekali ganda, terutama melalui media sosial,” kata OIC dalam kenyataan yang dikeluarkan di Jeddah pada Ahad.

Di Sweden, lima orang Islam cedera dalam serangan khianat yang dilakukan terhadap sebuah masjid di bandar Eskilstuna.

Kenyataan itu berkata jenayah yang dilakukan terhadap masyarakat Islam akibat kebencian semakin menjadi-jadi, termasuk perbuatan menyerang imam, meletakkan kepala babi di masjid, menconteng dinding masjid dan menyerang wanita bertudung.

“Di Belanda, masjid terus menjadi sasaran vandalisme. Di Jerman pula, penolakan masyarakat akar umbi terhadap Islam dan umatnya mencapai tahap yang belum pernah dialami sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, katanya, di Amerika, Islamophobia menunjukkan trend menurun bulan lepas apabila jumlah kejadian jauh lebih rendah daripada dua bulan sebelumnya.

Menurut kenyataan itu, keadaan di Amerika begitu membimbangkan pada Disember 2014 apabila seorang kanak-kanak Islam dibunuh di Kansas City, sebuah masjid di St. Cloud dirosakkan dengan teruk dan seorang pemandu teksi beragama Islam menjadi mangsa serangan kejam di Magnolia.

Dalam perkembangan positif pula, Islamophobia Observatory melaporkan bahawa beberapa negara seperti Rusia, India dan Afrika Selatan bagaimanapun menunjukkan sikap mesra terhadap Islam dan umatnya.

“Terdapat juga trend menyenangkan di negara Barat tertentu apabila burqa dan tudung mula diterima sebagai fesyen dan adab berpakaian bagi wanita.

“Bagaimanapun, dasar yang mengharamkan pemakaian burqa tetap menjadi isu panas di seluruh benua Amerika dan Eropah,” kata kenyataan itu.

Islamophobia Observatory berkata Disember 2014 merupakan bulan yang amat memeritkan bagi umat Islam, terutama oleh mereka yang hidup sebagai puak minoriti di negara bukan Islam kerana mereka dipersalahkan atau menjadi mangsa kebencian akibat jenayah yang dilakukan pengganas atau kumpulan radikal yang mengaku sebagai kumpulan Islam.

Antara contoh kejadian itu ialah perbuatan menjadikan pengunjung Lindt Cafe di Sysdney sebagai tebusan, serangan dahsyat puak Talibat Pakistan terhadap sebuah sekolah kendalian tentera di Peshawar, yang meragut 141 nyawa dan tindakan kejam kumpulan Boko Haram menculik 142 wanita dan kanak-kanak dari sebuah kampung di timur laut Nigeria.

Islamophobia Observatory, yang ditubuhkan OIC bagi memantau dan menentang Islamophobia di seluruh dunia, mengeluarkan laporan pertamanya pada 2008. - BERNAMA