Kejam! Suami Paksa Isteri Teguk Asid Di Kuala Lipis


Wanita bergelar isteri adalah amanah yang perlu dijaga dan dilindungi oleh insan bergelar suami pada pasangan setelah diijabkabulkan dengan ikatan yang sah.

Namun lain pula kisahnya dengan pasangan suami isteri yang tinggal di Kuala Lipis, Pahang di mana si isteri dilaporkan telah menjadi mangsa kekejaman suami sendiri.

Wanita berusia 30 tahun yang menjadi mangsa kekejaman suami itu merupakan warga Indonesia dan dikatakan telah dipaksa meneguk asid sebelum disimbah cairan berbahaya tersebut ke seluruh badannya.

Difahamkan juga bahawa insiden yang berlaku kira-kira pukul 11 malam semalam itu telah menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis dalam keadaan yang sangat menyakitkan dan cedera parah untuk mendapat rawatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum kejadian berlaku, pasangan itu dipercayai bertengkar kerana masalah peribadi yang gagal diselesaikan dengan baik.

“Suspek yang juga warga Indonesia kemudian mengambil sebotol cecair mengandungi asid dan mengarahkan mangsa meneguk namun isterinya enggan berbuat demikian,” katanya yang dipetik dari Harian Metro,baru-baru ini.

Tambah Abdul Razak lagi, suspek dan mangsa kemudiannya bergelut sebelum suspek bertindak mencurah cecair itu ke badan mangsa.

Hal ini menyebabkan mangsa menggelupur dan menjerit kesakitan sebelum dibantu jiran-jiran tetangganya.

Suspek yang turut cedera dalam kejadian itu segera melarikan diri namun berjaya diberkas pihak berkuasa di Raub. -Kedahnews.com