Kembalikan Kefahaman Islam Sebenar

 
UMAT Islam di Malaysia harus lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah Barat menerusi saluran media elektronik, media cetak atau internet agar kita tidak diajak atau dipaksa mengikut acuan fahaman dan budaya mereka. 
 
Kita tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang disajikan menerusi media mereka kerana biasanya diselitkan muslihat dan ada udang di sebalik batu.
 
Sejak dulu lagi Barat begitu bersungguh-sungguh untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang keras, ganas, rigid, kaku dan beku, kolot dan tidak mengikut arus perubahan zaman. Perang saraf dan psikologi psy-war terhadap Islam dan penganutnya dilakukan secara agresif melalui pelbagai cara dan saluran terutama saluran media elektronik dan penyiaran.
 
Tidak sedikit label dan gelaran negatif digandingkan dengan Islam dan penganutnya di dalam akhbar, televisyen, internet, majalah dan sebagainya dengan tujuan mencemar kesuciannya, menghakis kepercayaan umat Islam terhadap ajarannya dan akhir sekali memadamkan keindahan dan kebenarannya.
 
Tidak cukup dengan tulisan buruk dan jahat terhadap Islam, mereka melakukan pula provokasi lain dengan cara pembuatan filem, cerita palsu dan karikatur.
 
Sebahagian usaha ini berjaya mempengaruhi pemikiran sebahagian umat Islam, merosakkan kefahaman Islam sebahagian yang lain dan membangkitkan kemarahan serta kebencian sebahagian yang lain pula terhadap mereka.
 
Lantas golongan ini memberikan tindak balas spontan yang agak keras dan kasar sehingga mengundang implikasi negatif yang lain terhadap Islam.
 
Tindakan sekumpulan kecil orang Islam secara keras dan agresif terhadap mereka memberi peluang terbuka untuk menambahkan lagi serangan terhadap Islam dan umatnya. Mereka mengambil setiap kesempatan atas kegagalan umat Islam sendiri beramal dan bertindak berpandukan kepada kefahaman Islam yang sebenar berasaskan sumber al-Quran dan al-Sunnah.
 
Usaha dan tindakan perlu diambil untuk mengembalikan kefahaman yang sebenar mengenai ajaran Islam. Pendekatan Islam yang diketengahkan oleh Malaysia adalah sebahagian usaha yang terpuji daripada sebuah negara Islam yang merdeka. Usaha murni ini mendapat pengiktirafan dan penghargaan oleh tokoh ulama Islam yang tersohor, Syeikh al-Azhar.
 
Ketika negara sedang giat berusaha memberikan kefahaman kepada masyarakat mengenai pendekatan Islam, kedatangan beliau ke Malaysia pada 30 Mei lalu dilihat oleh banyak pihak sebagai tepat pada masanya.
 
Sebagai tokoh Islam yang menduduki kedudukan yang tinggi dan penghormatan yang mulia oleh semua dunia Islam, Syeikh al-Azhar adalah orang yang tepat dan paling layak untuk memberikan pengiktirafan ini.
 
Islam adalah agama fitrah. Keseluruhan ajarannya menepati dan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Logiknya ialah manusia diciptakan Allah SWT, Dia juga yang mengutuskan syariat-Nya melalui rasul-Nya yang juga terdiri daripada kalangan manusia - bukan malaikat atau jin – maka pastilah syariat-Nya itu secocok dengan manusia dan sesuai untuk diamalkan bagi mencapai keharmonian dan kesejahteraan hidup.
 
Adalah mustahil Allah menciptakan makhluk-Nya untuk saling bertentangan dan berantakan antara satu sama lain. Alam cakerawala, langit dan bumi ini dicipta dan dijadikan Allah SWT dengan tersusun rapi, bergerak dan beredar dengan begitu sempurna mengikut peraturan dan orbitnya.
 
Tidak ada sebab dan alasan kukuh untuk meyakini dan mengatakan bahawa syariat Allah SWT tidak sesuai pada zaman ini sekalipun cara hidup dan pemikiran manusia sudah jauh berubah dibandingkan zaman sebelumnya.
 
Kemajuan sains dan teknologi, perkembangan ilmu dan penyelidikan, bangsa dan keturunan, tempat dan lokasi bumi, adat dan budaya, kecenderungan atau minat individu, bukannya halangan untuk beramal dengan syariat Islam.
 
Islam ajaran yang sederhana (wasatiyyah) dalam semua aspek kehidupan. Ia praktikal dan sentiasa mengambil kira fitrah semula jadi manusia. Allah SWT menciptakan manusia dengan segala kemampuan jasadiah, akliah, ruhiyyah serta keperluan yang bersesuaian untuk menerima perintah-Nya. Manakala syariat Islam pula memiliki ciri dan keistimewaannya yang tersendiri.
 
Sumber: Jakim