Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April ini
merupakan langkah progresif dalam membantu peniaga menyelaras kos
pengeluaran mereka, kata Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil
Melayu Puncak Alam Mejar (B) Zulkiflee Abdul Latiff.
Beliau berkata pelaksanaan cukai itu mampu memberi kelegaan kepada
peniaga kerana aktiviti perniagaan dapat dijalankan dengan kos seminimum
mungkin.
“Kami kumpulan penjaja dan peniaga kecil di sini menyambut baik
pelaksanaan GST…banyak kelebihan pelaksanaannya dan yang pastinya kita
tahu cukai itu jelas serta peniaga lebih bertanggungjawab terhadap
barang dan perkhidmatan yang mereka jual kepada pengguna,” katanya
kepada Bernama di sini hari ini.
Zulkiflee berkata rakyat juga perlu memberi peluang kepada kerajaan
melaksanakan sistem percukaian itu bagi mengetahui keberkesanan serta
kelemahannya.
“Jangan tolak (GST) dahulu, jangan bising dahulu…bagi peluang
kerajaan laksanakan cukai tersebut, kalau tidak dimulakan macam mana nak
tahu apa yang kurang apa yang lebih…kalau ada yang kurang selepas ini, minta kerajaan lakukan penambahbaikan.
“Cukai ini merupakan sistem cukai terbaik…banyak negara maju dah pun
mulakan sistem ini, jadi tak salah kita mulakan (GST),” kata Zulkiflee.
GST sebanyak enam peratus diperkenalkan mulai April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan berjumlah 16 peratus.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut mahukan pelaksanaan GST
tetap pada 1 April bagi membantu kerajaan mengenal pasti kelemahan,
sekali gus dapat mengatasi masalah berbangkit pada masa depan.
“Jangan bagi peluang kepada peniaga, pengelak cukai tegar untuk ambil
kesempatan…kalau kita tangguh lagi, nanti banyak masalah,” kata Pegawai
Pendidikan CAP N.V. Subbarow ketika dihubungi.
Beliau berkata selain itu sesi penerangan terhadap cukai berkenaan
perlu diadakan secara berterusan untuk memberi pemahaman menyeluruh
kepada rakyat dan pihak terlibat supaya fakta berhubung GST tidak mudah
diputar belit pihak tertentu.
Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Malam Pulau Pinang, Mat Jamil Saad
berkata walaupun penjaja pasar malam tidak dikenakan GST, pihaknya
menyambut baik sistem percukaian itu dan menganggap ia lebih sistematik
dan efisien.
Beliau berkata usaha untuk memperkenalkan GST adalah tepat seiring dengan hasrat Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti
Sains Malaysia Prof Madya Dr Sofri Yahya turut bersetuju GST
dilaksanakan pada 1 April ini dan berpendapat lebih banyak kerugian yang
akan dialami sekiranya kerajaan menangguhkan pelaksanaannya.
Beliau berkata selain usaha kerajaan mendidik dan memberi pemahaman
GST kepada orang ramai, mereka juga perlu memastikan semua agensi
meningkatkan kepakaran mereka supaya cukai baharu itu dapat memberi
gambaran positif kepada rakyat.
Di KOTA BHARU, Presiden Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu
Malaysia (Perdasama) Kelantan Isamudin Zakaria berkata masih ramai
usahawan Bumiputera tidak komited dengan pelaksanaan GST berikutan ada
yang masih gagal mendaftarkan syarikat dengan Jabatan Kastam Diraja
Malaysia (JKDM).
“Ia mungkin kerana ada usahawan Bumiputera yang ‘termakan’ hasutan
segelintir pihak yang selama ini membuat tuduhan liar mengatakan bahawa
GST hanya membebankan peniaga,” katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas tindakan segelintir pihak yang cuba mempengaruhi
usahawan untuk menolak GST walaupun hasrat kerajaan menggunakan hasil
kutipan cukai itu untuk disalurkan kembali kepada rakyat.
Isamudin berkata ramai usahawan masih tidak memahami manfaat sebenar
GST kepada pembangunan negara kerana kebanyakan mereka tidak menghadiri
program penerangan percuma yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan
sebelum ini.
“Penerimaan mereka masih lagi rendah dan usahawan lebih bersikap
mementingkan diri sendiri daripada memikirkan manfaat jangka panjang
kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon agar kerajaan memberi kelonggaran
kepada usahawan yang terjejas banjir di Kelantan untuk tidak dikenakan
GST dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan supaya peniaga dapat
menstabilkan kembali perniagaan mereka.
Sementara itu Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) Mohamad
Zaidan Abdul Rahim mengingatkan semua akan cubaan pihak seperti
pembangkang yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan memutar belit
fakta sebenar mengenai kesan positif pelaksanaan GST.
“Rakyat sendiri kena kaji hasil yang akan diterima mereka selepas
pelaksanaan GST dan bukan menelan bulat-bulat tuduhan liar dilontarkan
pihak tertentu tanpa bersandar kepada fakta sebenar,” katanya. – BERNAMA