Rakyat khususnya berbangsa Melayu dan beragama Islam sememangnya akan gembira sekiranya dua parti terbesar yang dianggotai mereka, UMNO dan PAS, dapat duduk semeja serta sama-sama membangungkan negeri Kelantan.
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, penubuhan kerajaan campuran di negeri yang teruk dilanda banjir itu tidak mustahil untuk menjadi kenyataan.
Namun Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Chempedak itu menyerahkan keputusan tersebut kepada kepimpinan dua parti itu di Kelantan bagi memutuskan segalanya.
"Sebenarnya penubuhan kerajaan campuran bergantung kepada UMNO dan PAS Kelantan.
"Tetapi sebagai rakyat, orang Melayu khususnya sudah tentu suka kalau Umno dan Pas dapat duduk bersama membangunkan semula negeri itu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut Ku Abdul Rahman lagi, kerajaan campuran di Kelantan mungkin wajar dilaksanakan jika ia dilihat dapat membantu membangunkan semula kestabilan negeri itu daripada kemusnahan yang berlaku akibat banjir.
Beliau juga menjelaskan bahawa Kelantan penah memiliki kerajaan campuran sekitar tahun 1970'an dahulu dan berpandangan ia agak mudah dilaksanakan ekoran kedua parti tersebut mempunyai majoriti penyokong dari kalangan bangsa Melayu beragama Islam.
“Ada perkara kita boleh bersama dan berpakat, tidak semestinya perlu pilih kerajaan campuran. Kita tidak ada masalah kalau nak wujudkan kerajaan campuran,” katanya lagi. -Kedahnews.com