Alor Setar - Kerajaan Negeri Kedah melahirkan rasa bimbang mengenai potensi penularan ideologi songsang dan fahaman ekstrim dari segelintir penceramah tidak bertauliah yang mampu merosakkan umat Islam di negeri itu
Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid menegaskan pihaknya perlu menyaring lebih ketat terhadap segelintir penceramah yang mampu mempengaruhi umat Islam dengan dakyat mereka di negeri Kedah.
Katanya, saringan tersebut sangat perlu bagi memastikan golongan muda khususnya tidak mudah terjerumus di dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan dan bercanggah dengan kehendak maqasid syariah.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada senarai penceramah atau ustaz yang dikesan menyebarkan fahaman ekstrem sama ada secara terbuka atau terselindung.
“Saringan ketat perlu dilakukan dan mana-mana penceramah yang didapati masih giat menyebarkan fahaman tersebut perlu disekat serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Adun Ayer Hangat itu menjelaskan bahawa kegiatan penyebaran fahaman ekstrem secara tidak terkawal dikhuatiri dapat mempengaruhi golongan muda terlibat dalam aktiviti berbentuk militan seperti IS.
“Kita bimbang mereka cuba menyebarkan fahaman salah itu ke sekolah agama, universiti dan kepada penjawat awam,” katanya lagi.
Dalam pada itu katanya, pihak kerajaan negeri turut meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) untuk mengadakan pelbagai siri perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah-sekolah pondok di seluruh negeri itu dari masa ke masa.
“Kita akan sentiasa menasihati pengurusan sekolah agama agar berhati-hati dengan cubaan pihak tertentu menyebarkan fahaman ekstrem yang dikatakan mula menjalar dalam sistem pendidikan,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, kerajaan negeri itu juga akan terus mengikuti perjalanan institusi pengajian agama di negeri ini dan bekerjasama dengan istitusi pengajian agama tradisi itu bagi mengimarahkan Islam di bumi Kedah. -Kedahnews.com