KOTA BAHARU – Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan
menubuhkan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir bagi memulihkan
semula kehidupan rakyat di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir
baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata
jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan
Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas (pusat)
Bencana Banjir Negeri Kelantan.
“Perkara utama di sini ialah bagaimana untuk memulihkan kehidupan
rakyat kita yang ditimpa musibah banjir kembali seperti sedia kala, oleh
kerana keadaan begitu teruk banyak pihak perlu menyedari hakikat bahawa
kita perlu bersatu menguruskan keadaan ini secepat mungkin dalam
keadaan sebaik baiknya supaya kita dapat mengurangkan beban yang
ditanggung oleh mangsa banjir,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita, selepas mempengerusikan
Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir Negeri Kelantan di sini
hari ini, yang turut dihadiri oleh Ahmad dan Mustapa.
Muhyiddin berkata langkah pertama yang akan dilakukan adalah untuk
memastikan kesemua mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing.
“Masalahnya ada 2,660 isi rumah yang rumah mereka musnah 100 peratus,
bila balik mereka tidak ada rumah lagi, ini sudah didaftarkan,”
katanya.
Muhyiddin berkata proses untuk mendaftarkan isi rumah yang dikatakan
menjadi mangsa banjir sedang dilakukan dan perlu disiapkan
selewat-lewatnya pada 15 Jan.
“Apabila senarai mereka yang ditimpa musibah banjir itu didaftarkan,
kita tahu isi rumah yang terlibat dan langkah utama kerajaan ialah untuk
memberi bantuan ihsan untuk memulakan kehidupan mangsa banjir kerana
mereka sudah lama tidak bekerja, tidak ada pendapatan.
“Dalam kes banjir biasa pun kita ada bagi sejumlah peruntukan, saya
akan rujuk kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amaun
yang akan diberikan kepada setiap isi rumah atau ketua keluarga sama ada RM500
atau RM1,000 ini akan diputuskan secepat mungkin,” katanya yang berharap
pembayaran akan dapat dilakukan sama ada 15 atau 16 Jan.
Beliau berkata bantuan bekalan makanan kering seperti beras, gula,
susu dan lain-lain untuk menampung tempoh tiga hari selepas mangsa
kembali ke rumah akan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. –
BERNAMA