Kes Transgender Muslim: Mahkamah Benarkan Rayuan Kerajaan Negeri Sembilan, MANIS

Transgender: Lelaki menuntut hak mereka untuk menjadi wanita atas dasar "hak asasi manusia"
Mahkamah Persekutuan dilapor telah memutuskan untuk menolak permohonan lima Majlis Agama Islam negeri lain untuk mencelah dalam kes lelaki transgender yang dibenarkan berpakaian seperti wanita di Negeri Sembilan, pagi tadi.

Mahkamah tersebut kemudiannya membenarkan permohonan Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri (MANIS) itu untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Turut difahamkan bahawa pihak mahkamah membenarkan permohonan itu kerana kerajaan Negeri Sembilan dan MANIS mempunyai kepentingan langsung dalam kes berkenaan.
 
Pada 7 November tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang difailkan oleh tiga jurusolek pengantin – Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 dan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Hari ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membenarkan permohonan itu dan menggesa ianya disegerakan kerana melibatkan kepentingan awam.

Permohonan pagi tadi ditolak oleh barisan panel hakim yang sama.

Lima Majlis Agama Negeri yang memohon untuk mencelah itu ialah Selangor, Perak, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Ketika prosiding kes transgender berkenaan tahun lepas, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memutuskan bahawa peruntukan itu menimbulkan diskriminasi terhadap lelaki Islam yang mengalami keadaan dikenali sebagai Kecelaruan Identiti Jantina (GID) dalam perubatan.

Mohd Hishamudin berkata Seksyen 66 yang menghukum lelaki Islam yang berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat-tempat awam, tidak memberikan pengecualian untuk penghidap GID tetapi mengabaikan mereka (penghidap GID) dan secara tidak adil meletakkan mereka tertakluk di bawah penguatkuasaan undang-undang.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman yang menolak permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 66 sebagai melanggar perlembagaan.

Dalam permohonan bagi semakan kehakiman, Muhamad Juzaili, Syukor dan Wan Fairol menamakan kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, pengarahnya, ketua pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Sembilan dan ketua pendakwa Syarie Negeri Sembilan sebagai responden. -Kedahnews.com