Ketua Hakim Negara Kutuk Perangai Peguam

KETUA Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria (tengah) berarak bersama Hakim sempena Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2015 di sini hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengutuk tindakan segelintir peguam yang mengkritik badan kehakiman melalui media sosial.

Arifin berkata, ia amat mengecewakan untuk menyatakan bahawa segelintir peguam telah berulang kali menggunakan media awam dan atau forum awam untuk membuat kritikan tidak berasas terhadap badan kehakiman lebih-lebih lagi berhubung keputusan mahkamah.

“Sebagai ahli Badan Peguam, mereka diwajibkan untuk bertindak secara berterus terang, ihsan dan adil. Dan apa-apa serangan terhadap badan kehakiman yang melemahkan keyakinan orang ramai kepada institusi ini sama seperti serangan ke atas pentadbiran badan kehakiman,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tahun Undang-Undang 2015 di sini hari ini.

Arifin berkata, beliau berpendapat tiada peguam yang layak mendapat biasiswa jika dia terus mencemarkan sistem dengan tingkah laku yang keterlaluan.

“Maruah dan penghormatan kepada profesion undang-undang ditentukan oleh cara para peguam menegakkan kedaulatan undang-undang, proses dan penghormatan yang sepatutnya kepada badan kehakiman,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas perkara yang sama dalam ucapannya, Abdul Gani memetik komen yang diterbitkan dalam satu daripada media alternatif dan telah diperkatakan oleh beberapa peguam.

Menurut ulasan itu, ‘Para hakim di Malaysia gagal untuk menyedari bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini dan ini adalah sebab litigasi undang-undang awam telah mati di negara ini’, katanya.

Abdul Gani berkata, sebarang kritikan mestilah yang jujur dan bukan dengan cara sedemikian.

“Kritikan yang dibuat terhadap badan kehakiman hendaklah dibuat di tempat yang betul dan dengan cara yang tidak wajar,” katanya.

Lebih daripada 500 orang terdiri daripada anggota Badan Peguam, Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman menghadiri majlis separuh hari itu. – BERNAMA