PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyifatkan
sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membubarkan
sistem pasukan Harimau Muda.
Khairy berkata persatuan bola sepak negeri secara hakikinya perlu
diberi tanggungjawab dalam menggilap potensi pemain dan pembangunan bola
sepak di negeri masing-masing.
Beliau yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM itu berkata
sistem Harimau Muda itu tidak sesuai diteruskan lagi untuk perancangan
jangka masa panjang.
“Apabila saya mulakan Harimau Muda semasa saya menjadi Timbalan
Presiden FAM, hasrat saya ketika itu adalah untuk membangunkan satu
pasukan junior tetapi bukan untuk perancangan jangka masa panjang,”
katanya.
Beliau berkata cara yang terbaik adalah menghantar pemain-pemain muda
ini bermain dengan negeri masing-masing dan biarkan persatuan negeri
bertanggungjawab dalam menggilap pemain mereka.
“Liga Malaysia semakin baik. Kalau kita lihat ramai pihak swasta mahu
menaja pasukan negeri, walaupun ramai pihak mempertikaikan tentang
kualiti pemain saya rasa kualiti pemain kita semakin baik,” katanya
kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pengumuman laluan
perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL)
2015.
Khairy berkata semua pihak perlu memberikan kepercayaan kepada
persatuan bola sepak negeri untuk membangunkan pemain-pemain mereka
sebelum dipilih menyertai skuad kebangsaan. – BERNAMA