KXP Bakal Semarak Ekonomi Kedah - Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR - Cadangan pembinaan projek ikonik Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau lebih dikenali sebagai "KXP" akan menyemarakkan ekonomi rakyat Kedah terutamanya di luar bandar, kata menteri besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Menurut beliau, cadangan pembinaan KXP di Sungai Petani merupakan satu daripada enam projek pemangkin yang dirancang bagi merancakkan lagi landskap pembangunan ekonomi negeri.

"Sepertimana seluruh kawasan Kedah Utara mengalami pertumbuhan mendadak dalam tempoh yang singkat dengan pembukaan Universiti Utara Malaysia di Sintok, begitu jugalah diharapkan akan berlaku kepada negeri kita, malah turut melimpah ke negeri-negeri jiran seluruh Utara Semenanjung ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sembah tahniah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah-darjah serta bintang-bintang kebesaran sempena keputeraan Sultan Kedah ke-87 di Istana Anak Bukit hari ini.

Mukhriz berkata, rakyat berpeluang memperoleh peluang-peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang bukan hanya hanya ditawarkan oleh operasi KXP, tetapi oleh industri lain di luar lapangan terbang itu. - Bernama