KXP: Mukhriz Tunggu "Lampu Hijau", Giat Cari Kaedah Peroleh Dana Projek


Komited bagi menjayakan perancangan memakmurkan lagi ekonomi negeri, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjelaskan bahawa pihaknya sedang menunggu kelulusan dari Kerajaan Pusat untuk memulakan projek lapangan terbang antarabangsa di Kulim.

Katanya, meskipun belum lagi menerima "lampu hijau" dari Kerajaan Persekutuan mengenai pembinaan lapangan terbang antarabangsa yang dikenali sebagai KXP itu, kerajaan negeri pimpinannya sedang mengkaji pelbagai kaedah untuk mendapatkan dana bagi tujuan projek tersebut.

Menteri Besar itu juga mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Pusat mempunyai peruntukan tertentu untuk membiayai projek KXP, namun beliau menegaskan tidak akan bersikap "lepas tangan" dan terlalu mengharap bantuan dari Kerajaan Persekutuan itu.

"Jika Kerajaan Pusat mempunyai peruntukan untuk membina lapangan terbang tersebut, kita sangat mengalu-alukan, walaupun begitu, kita tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat.

"Pada masa ini, kita sedang menilai pelbagai pendekatan lain untuk membiayai projek tersebut," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini berhubung status projek KXP yang dijangka bernilai RM1.6 bilion itu.

Kata Mukhriz lagi, walaupun Kerajaan Pusat sebelum ini mengkaji semula Bajet 2015 menerusi satu perutusan khas yang membabitkan kesan kejatuhan harga pasaran minyak mentah dunia, beliau berpandangan Bajet Kedah 2015 tidak perlu dikaji semula.

Beliau berpandangan bahawa Kedah bukanlah merupakan sebuah negeri pengeluar minyak dan kejatuhan harga tersebut dijangka bakal meningkatkan jumlah pelaburan di negeri Jelapang Padi itu dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Saya melihat keadaan ini sebagai peluang.

"Apabila harga minyak rendah, negara-negara pengimport minyak seperti China, Jepun dan Korea akan meningkatkan sektor pembuatan mereka dan akan mendapatkan alatan dan komponen daripada Malaysia," katanya lagi.

Selain itu, Mukhriz juga menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Kedah sedang memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan teknologi seperti taman teknologi di Kulim, Bandar Sains dan Perubatan Kedah di Bandar Baharu, dan Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam.

Projek pembangunan Rubber City di Padang Terap dan Kedah Aerocity turut diberikan fokus utama dalam industri berkaitan sektor penerbangan dan terletak bersebelahan KXP sekiranya projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu diluluskan nanti. -Kedahnews.com