Suasana perkampungan setinggan Kampung Kundur di tebing Sungai Galas, Gua Musang. |
Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang melarang mangsa banjir di
kawasan setinggan sekitar bandar ini membina semula rumah yang hanyut
atau rosak akibat bencana itu bulan lepas, di kawasan berkenaan.
Ketua Jajahan Gua Musang, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusoff berkata,
tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang membina semula rumah di
kawasan berkenaan.
Pihaknya akan memantau semua kawasan setinggan terbabit termasuk
Jalan Sungai China, Kampung Tiong, Kampung Baru Hilir, Kampung Baru
Hulu, Jalan Kesedar Inn, Kampung Nerang, Kampung Kundur dan Kampung
Kerinting, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Katanya, ini bagi menjaga keselamatan penduduk daripada terus
berdepan dengan risiko kejadian banjir musim tengkujuh pada masa depan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang berkata
mangsa banjir yang kehilangan rumah itu boleh tinggal di penempatan
sementara disediakan kerajaan.
Kerajaan negeri kini dalam proses menyediakan tapak bagi pembinaan
rumah kekal di samping menempatkan mereka di Projek Perumahan Rakyat
(PPR) di Jalan Persiaran Raya di bandar ini. -mStar