Lebih 2,500 Pasang Pakaian Sekolah Dari Kedah Sedia Dihantar Ke Manek Urai


ALOR SETAR - Sebanyak 2,508 pasang baju sekolah dikumpulkan dalam usaha misi kesembilan bantuan pasca banjir kerajaan Kedah kali ini.

Setiausaha Barisan Nasional Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, bantuan datangnya daripada individu, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan itu meliputi kemeja sekolah lelaki, baju kurung, anak tudung, tudung sekolah, tudung berwarna, serta pakaian beruniform.

Ia dikumpulkan di pusat pengumpulan bantuan banjir negeri berpusat di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon dan akan dihantar selewatnya Selasa ini ke Kampung Karangan, Manek Urai, Kelantan.

"Bantuan ini kita akan hantar ke sekolah-sekolah di kawasan yang Kedah telah  dipertanggungjawabkan iaitu di daerah mengundi Karangan, dalam Dewan Undangan Negeri Manek Urai," katanya kepada pemberita selepas menerima bantuan tersebut.

Beliau menjelaskan setibanya bantuan berkenaan di Manek Urai, ia akan diselaraskan oleh jentera Sukarelawan Kedah Aman Makmur (SUKAM) yang tertumpu di kem induk Sekolah Kebangsaan Karangan, Manek Urai.  

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Kem Induk SUKAM di Manek Urai yang bertindak sebagai pusat penyelarasan bagi semua kerja bantuan mangsa banjir.

Semenjak pembukaan pusat pengumpulan banjir negeri pada 29 Dis lalu, lapan misi bantuan dilaksanakan melibatkan lebih 350 sukarelawan.

Ariffin menjelaskan pusat itu akan terus dibuka sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak, selain mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai.  -Bernama