IraqiNews.com pernah mendedahkan, sekurang-kurangnya 300 rakyat China dipercayai menyertai perjuangan ISIS. |
PUTRAJAYA – Lebih 300 rakyat China menjadikan Malaysia sebagai
transit sebelum ke negara ketiga dan seterusnya memasuki Syria dan Iraq
untuk menyertai kumpulan militan IS, kata Menteri Dalam Negeri Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Menteri
Keselamatan Awam China Meng Hongwei dalam pertemuan mereka di pejabat
Ahmad Zahid di sini, pada Rabu.
Ahmad Zahid berkata Kuala Lumpur dan Beijing memandang berat isu
ancaman keselamatan dan komited untuk mengekang masalah itu secara lebih
teliti.
“Walaupun ada perjanjian antara Malaysia dan China untuk atasi
masalah keganasan dengan tindakan menangani keganasan, tapi masalah ini
berat.
“Ini kerana kita dapati terdapat jalinan di peringkat antarabangsa
antara pengganas-pengganas dari China dengan pengganas-pengganas dari
negara lain di rantau Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas
menerima kunjungan hormat Meng itu.
Ditanya mengenai kemungkinan kumpulan rakyat China itu mempunyai
jalinan dengan penduduk tempatan di negara ini, Ahmad Zahid berkata buat
masa ini tiada maklumat mengenainya diterima.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata buat masa ini belum ada
sebarang cadangan atau perbincangan untuk memberikan visa percuma kepada
pelancong dari negara lain kecuali China.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perutusan Khas
berkenaan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara pada
Selasa, berkata pemberian visa secara percuma kepada pelancong
antaranya dari China bertujuan memastikan pertumbuhan ekonomi yang
seimbang, inklusif dan mampan.
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata pelancong dari negara
Tembok Besar itu yang berhasrat datang ke Malaysia tetap perlu memohon
visa.
“Visa tetap perlu dipohon. Tetapi yang dikecualikan (percuma) adalah
bayaran sebanyak 80 Yuan Renminbi yang dikenakan ketika ini.
Katanya kabinet memutuskan bahawa pengumuman rasmi mengenai
pelaksanaan pemberian visa percuma itu akan dibuat selepas semua
peraturan dan syarat-syarat diperhalusi oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
“Selepas itu kita akan umum secara rasmi di Kedutaan Malaysia di
China dan semua Konsulat Jeneral Malaysia di China,” katanya. – BERNAMA