Lelaki Cina Diberkas Lontar Bom Petrol Pada Surau

Kecoh di laman-laman sosial semalam ekoran tersebar beberapa keping gambar yang memaparkan seorang lelaki berbangsa Cina telah ditahan penduduk sebuah taman perumahan kerana dipercayai bertindak khianat terhadap sebuah surau.

Menurut sumber, lelaki berkenaan dikatakan telah melontar bom petrol di surau As-Syakirin yang terletak di Taman Jati, Rawang, Selangor.

Kata sumber lagi, lelaki bukan beragama Islam itu difahamkan berang terhadap laungan azan dari surau terbabit yang dianggap sebagai "bising" dan mengganggu dirinya, lantas bertindak melampau dengan melontar bom tersebut ke arah surau berkenaan.

Menurut seorang saksi yang tinggal berhampiran dengan surau tersebut, kejadian tersebut telah berlaku dua kali sejak semalam apabila dikatakan lelaki tersebut telah melempar bom petrol di atas bumbung surau itu kira-kira pada jam  2.45 pagi.

"Kejadian ini telah disedari jemaah yang masih berada disurau yang telah menyergah suspek yang menyebabkan suspek terus melarikan diri dengan sebuah motosikal dan satu laporan polis dibuat," jelasnya.

Ekoran itu, difahamkan bahawa pihak berkuasa telah manghantar beberapa anggota dari bahagian forensik Bukit Aman untuk menyiasat perkara tersebut.

"Semasa siasatan dibuat tengahhari tadi oleh bahagian forensik PDRM lelaki tersebut dikatakan datang kembali dengan sebuah motosikal dan dia tidak sedar akan kehadiran pihak polis sebelum itu.

"Suspek cuba membaling bom petrol sekali lagi tetapi tidak sempat kerana ternampak anggota polis didalam surau."

"Dia cuba berpatah balik tetapi telah dihalang oleh penduduk berdekatan surau yang menyepak motosikal tersebut menyebabkan suspek jatuh dan telah berjaya diberkas," katanya.

Suspek telah dibawa ke balai dan pihak polis masih menyiasat motif kejadian ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengesahkan penangkapan suspek itu.


Rakyat Malaysia dimohon bertenang atas insiden berkenaan dan tidak cuba untuk mencetus sebarang persepsi negatif berunsur perkauman atau menyentuh sensitiviti agama, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi dan perlembagaan yang perlu difahami setiap warganegara, termasuk kedudukan dan hak keistimewaan Islam yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak. -Kedahnews.com