Lelaki Koma Setahun Terus Sedar Lepas Hidu Duit Di Hidung


Seorang lelaki China di Shenzen, wilayah Guangdong yang berjiran dengan Hong Kong tiba-tiba berjaya sedar daripada koma lebih setahun hanya setelah doktor mengipaskan beberapa keping wang kertas di bawah hidung pesakit tersebut.

Xiao Li yang kini berusia 30 tahun dilaporkan jatuh pengsan selepas menghabiskan waktu hampir seminggu tanpa tidur di sebuah kafe siber untuk mencari idea perniagaannya dan kemudian dia berada dalam keadaan koma sejak Ogos 2013.

Lelaki itu dirawat di sebuah hospital di Shenzen hampir setahun sehinggalah pada suatu hari, doktor memutuskan untuk mengibaskan beberapa helaian wang kertas tempatan dekat lubang hidungnya sebagai ikhtiar menyedarkan Xiao Li daripada koma.

Keputusan pelik itu diambil setelah keluarga lelaki tersebut mengatakan Xiao Li sangat ‘mencintai’ wang dan ternyata memang benar berlaku keajaiban, apabila bau daripada wang kertas China itu berjaya memulihkan pesakit berkenaan.

“Kami bertanya kepada keluarganya apakah perkara yang paling dicintai Xiao Li dan mereka secara berjenaka mendakwa lelaki ini sangat ‘mencintai’ wang, maka kami pun terus mencuba kaedah unik itu,” kata salah seorang staf perubatan, Dr. Liu Tang.

Doktor pada mulanya menggunakan duit syiling yuan nilai paling rendah tetapi tidak berjaya sebelum nilai denominasi dinaikkan kepada wang kertas sehingga mencapai mata wang baharu 100 yuan yang memang diketahui ada bau tekstur kuat tersendiri.

Dr. Liu berkata, mereka menyaksikan Xiao Li tiba-tiba menggerakkan jari tangannya ketika dia cuba ‘menangkap’ wang kertas 100 yuan itu dengan kelopak matanya seperti berkedip-kedip sebelum disahkan sedar sepenuhnya daripada koma.

“Hal ini sangat luar biasa dan saya belum pernah melihat keadaan semacam ini selama 20 tahun menjadi doktor, malah ingatan Xiao Li terhadap bau serta suara wang kertas merupakan perangsang yang cukup luar biasa,” ujar beliau lagi.

Xiao Li kini masih lagi meneruskan terapi di atas katil di hospital berkenaan, namun perlahan-lahan keadaan kesihatannya terus baik dan dia hanya perlu dirawat beberapa waktu lagi sebelum diizinkan pulang ke rumahnya. – Agensi