Setelah hampir dua bulan tanpa sebarang petanda untuk mengumumkan keputusan rayuan kes liwat membabitkan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari
Azlan, akhirnya hari ini Mahkamah Persekutan mengumumkan perkembangan terkini kes berkenaan.
Menurut laman Twitter rasmi Mahkamah Persekutuan, pihak eksekutif perundangan negara itu menetapkan tarikh 10 Februari ini bagi mengumumkan kes rayuan berprofil tinggi tersebut sejak tamat prosiding hujahan pada 4 November tahun lalu.
Difahamkan bahawa Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa Pejabat
Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply turut
mengesahkan berita tersebut.
Peguambela Anwar, Ramkarpal Sigh pula dalam satu kenyataannya berkata pejabatnya juga telah menerima notis keputusan tersebut kira-kira jam 12.15 tengahari.
Ketua Umum PKR, Anwar, 67, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful di
Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.
Pada 7 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dan
dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, namun dilepaskan dengan jaminan
RM10,000.
Anwar mengemukakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk
mengetepikan sabitan kesalahan tersebut dan prosiding telah pun
berlangsung dari 28 Oktober sehingga 4 November tahun lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sebelum ini Anwar pernah dituduh di mahkamah atas tuduhan meliwat beberapa individu dan disahkan melakukan aktiviti songsang itu oleh hakim mahkamah, namun terpaksa dilepaskan ekoran sedikit percanggahan teknikal yang dikatakan berhubung masa kejadian. -Kedahnews.com