Liwat II: Anwar Yakin "Lepas" Lagi Kali Ini


Sebagaimana yakinnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tampuk pentadbiran negara sekaligus menjadikannya Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 16 September beberapa tahun lalu, mungkin keyakinan yang serupa juga yang beliau luahkan untuk bebas dari dijatuhkan hukuman bersalah pada 10 Februari ini.

Ketua Umum PKR itu dalam satu kenyataannya hari ini menegaskan bahawa beliau yakin dengan barisan peguam yang membelanya dalam rayuan kes Liwat II akan membebaskannya dari tuduhan tersebut.

"Saya menerima maklumat yang menyatakan Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 Februari ini sebagai tarikh penghakiman bagi rayuan kes saya di peringkat Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman Putrajaya.

“Berdasarkan penghujahan pasukan guaman, saya yakin akan dibebaskan berdasarkan perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan,” kata Anwar, seolah menegaskan keyakinan terhadap ahli-ahli parlimen yang dikatakan akan "lompat" menyebelahi Pakatan Rakyat beberapa tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan hari ini menerusi akaun Twitter rasminya memberitahu bahawa keputusan kes rayuan Anwar akan diumumkan pada 10 Februari setelah hampir dua bulan prosiding kes rayuan berkenaan tamat didengar.


Anwar sebelum itu telah dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 26 Jun 2008.

Pada 7 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, namun dilepaskan dengan jaminan RM10,000.

Anwar mengemukakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan kesalahan tersebut dan prosiding telah pun berlangsung dari 28 Oktober sehingga 4 November tahun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau juga sebelum ini dalam kes Liwat I pernah disahkan mahkamah melakukan aktiviti seksual yang sama dengan beberapa individu termasuk bekas pemandu dan adik angkatnya, namun terpaksa dilepaskan ekoran percanggahan teknikal yang dilapor berkenaan masa kejadian. -Kedahnews.com