Mahasiswa UiTM Arau Didakwa Beri Sokongan Kepada IS

TERTUDUH, Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 23, penuntut Kejuruteraan Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Negara Islam (IS). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor/BH Online
SEPANG - Seorang mahasiswa jurusan Kejuruteraan Marin Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis dilapor telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Negara Islam (IS).

Pelajar berkenaan, Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 23, yang berasal dari Besut, Terengganu dituduh cuba memberi sokongan kepada IS dan dikatakan berhasrat menjadi sebahagian dari ahli kumpulan pelampau itu.

Difahamkan bahawa pelajar lelaki itu ditahan pada 28 Disember itu kira-kira jam 10.15 malam di hadapan pintu C15 Balai Pelepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengambil penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul.

Memetik laporan dari BH Online, tiada sebarang pengakuan telah direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dan kes tersebut dijadual akan disebut semula pada 30 Mac ini untuk kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan telah dibacakan di hadapan Hakim Aizatul Akmal Maharam dan pendakwaan kes berkenaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, semalam.

Turut difahamkan bahawa tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguambela.

Selain itu, mahasiswa itu juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu dengan pengetahuan mengambil penerbangan pesawat Turkish Airline dari KLIA ke Istanbul Turki untuk cuba memberi sokongan kepada IS dan dalam cubaan itu dia hendak memasuki Syria melalui Istanbul untuk manfaat kumpulan IS.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130 (1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Kanun 511 kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Wan Mohammad Arif boleh dipenjara seumur hidup atau tidak lebih dari 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang sudah digunakan atau diniatkan bagi melakukan kesalahan itu. -Kedahnews.com