Mahfuz Sambut Baik Kerjasama Kerajaan Kelantan Dengan "Pendera, Penzalim, Pembuli"?

Mahfuz Omar menggantikan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah
KUALA LUMPUR – PAS Pusat menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Peringkat Negeri Kelantan hasil persetujuan bersama diantara kerajaan Kelantan dan Kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, hubungan erat dan kerjasama baik itu satu episod baharu dalam sejarah pentadbiran PAS di Kelantan sejak tahun 1990.

“Hubungan baik ini sewajarnya sudah sekian lama dibina kerana semangat federalisme itu ada termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

“Perbezaan idelogi politik parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat yang sepatutnya dibela oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Kedah itu menyifatkan UMNO/BN sebagai "pendera, penzalim dan pembuli" gara-gara cadangan pemilik akhbar Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub yang mencadangkan "kerajaan campuran" antara PAS dan UMNO/BN di Kelantan.

UMNO/BN dikutuk Mahfuz meskipun cadangan tersebut disuarakan oleh pihak yang tiada sebarang kaitan dengan parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan itu.

Selain itu, Mahfuz dalam kenyataannya turut berharap agar episod baharu hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kelantan itu akan membawa rahmat kepada seluruh rakyat negeri itu yang baru ditimpa musibah banjir.

Beliau bagaimanapun berkata, hubungan rasmi yang dijalin antara kerajaan Pusat dan negeri itu boleh dibina dengan baik tanpa menimbulkan polemik kewujudan kerajaan campuran antara UMNO dan PAS di Kelantan.

“Semangat federalisme yang tulen itu menjamin keadilan dan hak untuk semua rakyat tanpa menjadikan perbezaan idelogi politik sebagai tembok penghalang,” katanya. -Kedahnews.com