Mahkmah Tentera Putuskan Mejar Zaidi Bersalah, Langgar Undang-Undang Tentera


Seorang pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didapati bersalah oleh Mahkamah Tentera terhadap dua pertuduhan melibatkan isu dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan menyiarkan maklumat surat pertukaran kerjanya.

Melanggar disiplin dan protokol ketenteraan kira-kira dua tahun lalu, Mejar Zaidi Ahmad, 48, dipecat atas beberapa pertuduhan yang didakwa ke atasnya, di sini hari ini.

"Mahkamah secara sebulat suara menjatuhkan hukuman dibuang kerja dari perkhidmatan Seri Paduka Baginda," kata Yang Dipertua Mahkamah, Kolonel Saadon Hasnan.

Saadon bersama lima anggota memutuskan Zaidi bersalah memberikan kenyataan tanpa meminta izin Majlis Angkatan Tentera dan menyiarkan Kawat Tumpangan rasmi tentera kepada media.

Turut menganggotai panel tersebut ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd. Dom, Mejar Khuzairi Mohd. Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib dan Mejar S. Nadzeer Salehuddin.

Menurut undang-undang ketenteraan, para pegawai perlu patuh peraturan untuk tidak membuat sebarang kenyataan kepada media.

Zaidi sebelum ini berdepan dengan pertuduhan pertama di mana dia didakwa membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera.

Selain itu dalam pertuduhan kedua, Mejar TUDM itu turut didakwa telah menyiarkan Kawat Tumpangan tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan.

Zaidi juga dilapor melanggar peraturan ketenteraan dengan membuat kenyataan media bagi melahirkan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera.

Pegawai tentera itu didakwa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 3 Mei 2013.

Difahamkan melalui sumber media, Zaidi turut didakwa menghantar SMS berbaur politik atau hasutan semasa bertugas di Pangkalan Udara Butterworth pada 1 Mei 2013 kepada pihak tertentu.

Dia didakwa mengikut Sekysen 50(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat, jika sabit kesalahan.

Setelah dipecat dari jawatan yang disandang, Zaidi dilaporkan enggan merayu bagi keputusan mahkamah tentera itu dan masih menganggap dirinya dipihak yang "benar" meskipun didapati bersalah.

 "Nak menyesal buat apa, kita buat benda betul," kata Zaidi kepada pemberita sejurus selepas dijatuhkan hukuman sebagaimana yang dipetik dari Malaysiakini.

Portal pro-pembangkang, Malaysian Insider menerusi pengarangnya, Amin Iskandar, menyifatkan bekas pegawai TUDM yang melanggar disiplin dan undang-undang tentera itu kononnya sebagai "seorang wira yang tanpa perlu mengangkat senjata". -Kedahnews.com