Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul
Rahman mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat
MH370 sebagai dan dianggap telah kehilangan nyawa.
“Kerajaan Malaysia mengakui bahawa pengumuman kemalangan
MH370 adalah sukar buat ahli keluarga dan orang tersayang bagi 227
penumpang dan 12 anak kapal.
“Adalah diharapkan dengan pengumuman ini, akan membolehkan keluarga mendapat bantuan yang diperlukan melalui proses pampasan.
“Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada keluarga penumpang
dan anak kapal terlibat bahawa pencarian MH370 tetap menjadi keutamaan,”
katanya ketika sesi sidang media MH370 di Dewan Serbaguna DCA, di
Putrajaya hari ini.
Menurutnya, Malaysia amat terhutang budi kepada semua negara dan
individu atas bantuan dan sokongan yang diterima sepanjang proses
mencari dan menyelamat MH370.
Usaha mencari MH370 melibatkan 160 aset termasuk 65 pesawat dan 95 kapal selain pakar dari 25 negara.
Walau bagaimanapun katanya, carian dasar laut untuk MH370 akan
diteruskan yang mana melibatkan empat kapal yang meliputi lebih 18,600
kilometer persegi.
Pesawat MH370 membawa 227 orang penumpang dari 15 buah negara dan 12
orang anak kapal dengan majoriti penumpang ialah rakyat China.
MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA), 8 Mac tahun lalu, pada jam 12.41 pagi dan sepatutnya tiba di
Beijing pada jam 6.30 pagi.
Namun, pesawat yang dipandu Kapten Zaharie Ahmad Shah itu dilaporkan
hilang daripada radar pada jam 1.19, yakni 40 minit selepas berlepas
dari KLIA.