Malaysia Kutuk Serangan Ganas Ekstremis Terhadap Akhbar Charlie Hebdo

12 mangsa maut di Paris
Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan ekstremis terhadap pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo di Paris yang telah mengorbankan 12 nyawa.

Ucapan takziah kepada semua mangsa dinyatakan Malaysia menerusi Jabatan Perdana Menteri yang turut mengutuk serangan terhadap mangsa tidak bersalah tersebut.

Seperti pernah dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, masalah pelampau agama boleh ditangani dengan mengamalkan sikap saling menghormati dan bertolak ansur sekaligus dapat mengelakkan perkara sebegini berlaku.

Insiden Selasa lalu menyaksikan dua lelaki bersenjatakan Kalashnikov dan pelancar roket menyerang bangunan pejabat Charlie Hebdo sebelum berlaku kejadian tembak-menembak dengan pasukan keselamatan hingga mengorbankan 12 nyawa.

Susulan itu, pihak berkuasa memburu tiga suspek dipercayai dalang utama iaitu lelaki dikenali sebagai Hamyd Mourad dan dua beradik, Said Kouachi dan Cherif Kouachi.

Pada November 2011, pejabat akhbar berkenaan pernah dibom selepas menerbitkan karikatur Nabi Muhammad dengan menggunakan tajuk Charia Hebdo.

Dalam perkembangan berkaitan, pendakwah terkenal dunia, Dr Zakir Naik menegaskan bahawa Islam tidak sesekali menganjurkan keganasan untuk menghalalkan matlamat.

Memetik kenyataan Dr Zakir dalam satu konvensyen, beliau berkata bahawa sekiranya umat Islam sengaja dicetus provokasi pihak tidak bertanggungjawab dan ia dibalas dengan keganasan, maka perkara yang tidak diingini akan berlaku.

Katanya, sekiranya umat Islam membalas dengan keganasan, maka pihak yang diserang itu akan membalas kembali dengan keganasan dan ia tidak akan berakhir hingga bila-bila.

Justeru itu kata, rujuklah cara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang disepakati sesuai dengan dunia ketamadunan Islam supaya agama Allah itu tidak dipandang serong oleh golongan bukan beragama Islam. -Kedahnews.com