MasyaAllah! Kos Urus Jenazah Cecah Lebih RM4,000?

Sehari dua ini tersebar di laman-laman sosial sekeping gambar yang memaparkan jumlah keseluruhan kos terkini bagi pengurusan jenazah yang difahamkan telah diuruskan oleh pihak pengurusan sebuah masjid.

Mengejutkan, kos yang tertera menunjukkan angka lebih dari RM4,000 yang perlu dijelaskan oleh keluarga si mati!

Meskipun tidak dapat dikenal pasti masjid yang mengenakan caj yang sebegitu tinggi, ramai warga netizen yang meluahkan rasa terkilan dan tidak percaya dengan jumlah yang perlu dibayar itu.

Apatah lagi beberapa butiran yang dilihat sewajarnya percuma dan beberapa perkara lain yang dikatakan tidak perlu seperti caj "cari orang sembahyang", "sedekah sembahyang jenazah", "sedekah sembahyang hadiah", "upah baca Al-Quran di rumah, "upah baca Al-Quran di masjid" dan sebagainya.


Rata-rata umat Islam berpandangan beberapa caj tertentu tidak wajar dikenakan ekoran proses pengkebumian merupakan fardhu kifayah, kecuali beberapa caj lain yang tidak dapat dielak.

Tidak dinafikan fardhu kifayah tersebut sememangnya agak rumit untuk diuruskan, namun ramai yang berpendapat bahawa ia akan menjadi mudah jika pihak pengurusan dan anak-anak qariah saling bergotong-royong bekerjasama menguruskan jenazah.

Apatah lagi jika dikenang tentang kesedihan keluarga si mati dan hak anak-anak yatim yang ditinggalkan seorang ayah atau ibu yang meninggal dunia, tergamakkah kita membebankan mereka dengan bayaran yang sebegitu tinggi?

Apapun, Kedahnews.com yakin bahawa tidak semua masjid yang mengenakan caj yang tinggi dan dianggap membebankan. Wallahu'alam. - Kedahnews.com