MB Kelantan Tidak Tolak Pembalakan Tidak Terkawal Punca Banjir

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kelantan tidak menolak kemungkinan bencana banjir besar yang melanda negeri itu disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pembalakan tidak terkawal itu bagaimanapun berpunca daripada aktiviti haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sistem pembalakan di Kelantan mematuhi Kup Tahunan seluas 5,960 hektar setahun yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara.

“Kejadian pembalakan yang tidak terkawal jika berlaku mungkin disebabkan penerokaan haram yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, kata Ahmad, kerajaan Kelantan akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan efektif bagi menangani aktiviti pembalakan haram selepas ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa banjir boleh juga berlaku disebabkan fenomena limpahan air hujan yang berlebihan.

Menurutnya, kerajaan Kelantan dalam usaha memulih dan membangunkan semula lokasi yang musnah dilanda banjir.

Namun, katanya, kerja pemulihan itu memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak khususnya Kerajaan Persekutuan. 



Sumber: Mynewshub.cc