Melaka akan melaksanakan pengharaman penjualan minuman keras di kedai
serbaneka 24 jam, 7-Eleven di kawasan yang dimonopoli penduduk Melayu
dan beragama Islam.
Dalam satu kenyataaan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron
berkata, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Exco semalam
(Rabu) yang mana komposisi sesuatu bangsa bakal dipertimbangkan sebelum
pengharaman tersebut dilaksana.
Justeru itu, satu kajian terperinci bakal dilakukan oleh pihak
berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan maklumat berkaitan jumlah
penduduk dan sebagainya.
"Sebagai contoh, sekiranya lingkungan jarak antara dua
7-Eleven mempunyai 90 peratus orang Melayu, penjualan minuman keras di
kedai terbabit adalah tidak sesuai.
"Bagaimanapun, seperti di Malim di mana peratusan kaum bukan Melayu adalah 90 peratus, kita tidak mempunyai halangan untuk penjualan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut selesai.
Tambahnya lagi, cadangan tersebut telah mendapat persetujuan dari
pengurusan 7-Eleven, namun ujarnya, beliau meminta agar penakrifan
‘minuman keras’ di kedai berkenaan dikaji kembali.
Ini kerana, takrifan ‘minuman keras hanya digunakan bagi minuman yang
mempunyai kandungan alkohol tinggi seperti wiski dan bukannya bir.
"Kita tidak boleh membuat sesuatu undang-undang itu dengan
sewenangnya tetapi perlu kajian berfakta dan berangka supaya keputusan
itu nanti tidak memberi kesan yang sebaliknya,"
Dalam pada itu, Idris turut memohon agar pihak 7-Eleven mengambil
pekerja dari latar belakang kaum yang pelbagai, kerana menurutnya,
majoriti pekerjanya sekarang merupakan kaum Melayu.
"Selain menangani sensitiviti pekerja Melayu (menjual arak), langkah ini juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada bangsa lain,"