Baru-baru ini tersebar tiga analogi menarik di laman-laman sosial berhubung hikmah kejadian musibah banjir terburuk yang melanda beberapa negeri di negara kita, khususnya di kawasan Pantai Timur.
Menurut sumber berkenaan, tiga analogi yang menyentuh perasaan gerun di hati umat Islam itu disampaikan menerusi khutbah oleh seorang khatib di Masjid Batu Jong, Kuala Krai pada Jumaat lalu.
Tidak dapat dipastikan sama ada benar ia disampaikan oleh imam masjid berkenaan pada Jumaat lalu atau tidak, namun analogi-analogi berkenaan amat menarik untuk dikongsi bersama.
Analogi pertama:
Banjir kerap berlaku di Kelantan. Jadi, sesiapa sahaja yang membuat persediaan dengan meninggikan rumah, menyediakan sampan, meninggalkan rumah lebih awal, menyediakan bekalan makanan mencukupi dan lain-lain persediaan, maka dia akan selamat dari keperitan bencana banjir.
Demikianlah juga dengan kematian dan hari pembalasan di akhirat yang pasti tiba. Ketika itu pada sesiapa sahaja yang bersiap sedia untuknya, maka dia akan selamat dari azab kubur dan seksaan api neraka. Nau'zubillahi min zalik...
Analogi kedua:
Bila banjir berlaku, kampung bergelap gelita tanpa bekalan elektrik, tanpa cahaya, penuh kegelapan dan ketakutan. Ketika itu cahaya lilin atau pelita amat diperlukan.
Dan begitu jugalah dengan kegelapan di dalam kubur kelak. Di alam itu nanti, hanya cahaya amal kebajikan ketika di dunia sahaja yang diharapkan dapat menerangi kita.
Analogi ketiga:
Banjir juga turut menyebabkan kesesakan lalu lintas, hanya mereka yang bertaraf VIP di dunia yang mendapat bantuan kenderaan iringan dan bersiren untuk melepasi kesesakan.
Banyak juga hati yang cemburu dan memaki hamun di mulut atas layanan istimewa yang diterima golongan VIP itu, kan?Demikianlah juga dengan kesesakan di atas titian sirat di akhirat nanti. Di saat itu, hanya yang bertaraf VIP Akhirat sahaja dapat memecut laju sepantas kilat mengatasi kesesakan melintas titian ke syurga itu.
Dan ketika itulah juga ramai yang cemburu, tetapi memaki hamun diri sendiri kerana gagal membuat persiapan sewajarnya untuk mendapat "title" VIP di akhirat.
Begitulah analogi yang terbaik, hikmah di sebalik musibah banjir yang terburuk dan masih berlaku di negara kita.
Analogi-analogi itu bukan saja memberi kesedaran kepada mangsa-mangsa banjir, malah kita yang tidak terlibat dengan bencana itu juga wajar mendapat iktibar di sebalik apa yang berlaku.
Sama-samalah kita bermuhasabah setiap hari dan kembali ke jalan yang diredhai Allah SWT. Wallahua'alam. -Kedahnews.com