Mesti Tonton: Tahajjud Cinta - Teater Untuk Rasulullah SAW Di Istana Budaya!

SEMPENA memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W, Amazon Entertainment dengan kerjasama Istana Budaya akan mengadakan pementasan drama muzikal berjudul Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta pada 3 hingga 6 Januari 2015.

Pementasan ini membariskan pelakon dan penyanyi terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search, Awie, Tegar, Datin Sri Umie Aida, Remy Ishak, Beto Kusyairy dan ramai lagi.

Sirah Rasulullah Tahajjud Cinta merupakan sebuah drama muzikal riwayat hidup Nabi Muhammad S.A.W daripada kelahiran sehinggalah kewafatan baginda diiringi selingan lagu-lagu kisah Nabi dan selawat.

Dalam pada itu, pementasan ini juga merupakan satu-satunya produksi teater Islam yang pertama di Asia Tenggara yang akan memaparkan sejarah hidup Rasulullah SAW bersempena menyambut Maulidur Rasul.

Malah skrip dan konsep persembahan ini telah pun diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada 7 Januari 2015, mulai pukul 2 petang, orang ramai boleh datang ke Istana Budaya bagi pengumpulan makanan kering, lampin pakai buang, selimut, wang tunai atau barangan-barangan keperluan buat mangsa banjir.

Artis-artis seperti Siti Nurhaliza, Amy Search dan Erra Fazira akan terlibat dalam inisiatif pengumpulan barang-barang ini.

Sebahagian hasil jualan tiket dari 3 hingga 6 Januari 2015 akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir manakala kesemua kutipan pada 7 Januari 2015 akan diserahkan kepada mangsa banjir. 





Sumber: Sinar Harian