Datin Paduka Chew Mei Fun |
PUTRAJAYA – Pusat komunikasi dan sokongan keluarga yang ditubuhkan di
Beijing, China untuk anggota keluarga dan sanak saudara penumpang
pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masih beroperasi walaupun pesawat
itu dilaporkan hilang hampir 11 bulan lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin
Paduka Chew Mei Fun, berkata malah sebuah laman web turut diwujudkan
bagi menyalurkan maklumat terkini untuk dikongsi bersama keluarga
penumpang negara berkenaan.
“Saya bukan jurucakap untuk isu itu (MH370) dan saya hanya memainkan
peranan sokongan sahaja,” kata Chew yang juga pegawai khas Malaysia ke
China bagi menemui anggota keluarga dan sanak saudara penumpang MH370
apabila ditanya sama ada terdapat perkembangan terbaru berhubung
perjumpaannya dengan anggota keluarga penumpang pesawat MH370 di
Beijing.
“Tiada apa yang baharu,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Pesawat MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang, termasuk
dua bayi, dilaporkan hilang daripada imbasan radar semasa dalam
penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada pada 8 Mac tahun lalu.
KETUA Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman semasa sidang media di sini hari ini mengisytihar semua 239 penumpang dan anak kapal MH370 dianggap terkorban. – Foto BERNAMA |
Terdahulu, Chew mengadakan perjumpaan dengan wakil Dewan Perdagangan
Malaysia-China dan beberapa usahawan wanita di pejabatnya di
kementerian, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pertemuan itu, beliau berkata ia adalah satu
inisiatif untuk menjalin kerjasama lebih erat, khususnya untuk
memperkasakan peranan wanita dalam perniagaan dan pembuat dasar.
“Mereka akan cuba meningkatkan kesedaran kepada ahli-ahli dalam
organisasi masing-masing supaya melantik lebih ramai wanita menjadi
pengarah dalam syarikat untuk memperkasa peranan wanita,” katanya.
Chew berkata, sejak 2012 sehingga kini, seramai 974 wanita dilatih
menerusi Program Pengarah Wanita, selaras dengan usaha kerajaan untuk
mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai ahli
lembaga pengarah dan pembuat dasar.
“Program ini akan diteruskan pada masa akan datang supaya matlamat
kerajaan ini akan dapat dicapai, melebihi daripada jangkaan,” katanya. –
BERNAMA