AKTRES popular, Rita Rudaini Mokhtar, 39, menolak saranan dikemukakan
peguam bekas suaminya, Aidil Zafuan Abd Razak bahawa tuntutan RM1,500
sebulan adalah melampau.
Tuntutan tersebut dibuat Rita terhadap Aidil bagi menanggung
keperluan makan dan minum kedua-dua putera hasil perkongsian hidup
mereka dahulu.
Ujar Rita kepada Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, jumlah yang diminta itu merangkumi perbelanjaan keperluan dapur.
Memetik kenyataannya dalam akhbar Sinar Harian, “Sekiranya tidak bekerja, saya akan masak dan makan di rumah.”
Menurutnya lagi, dia memperuntukkan RM50 untuk perbelanjaan makan dan minum sehari.
“Setiap hari saya makan empat kali sehari,” katanya.
Namun demikian, pelakon filem Mistik dan Mami Jarum itu bersetuju,
dia gagal menunjukkan sebarang dokumen bagi menyokong perbelanjaan
hariannya itu.
Selain itu, ibu kepada Airit Rayyan Rizqi, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, menuntuk bayaran bil utiliti sebanyak RM600 sebulan.
“Ia adalah berdasarkan bil semasa dan sekiranya lebih, saya tambah menggunakan duit sendiri.”
Dalam prosiding sama, Rita memberitahu mahkamah bahawa bekas suaminya menggunakan kereta Mercedes GLC 350.
“Selepas dia keluar dari rumah, saya tidak tahu status kereta itu dan saya juga tidak bersetuju kereta itu dibayar majikan.
Ducati Monster |
"Selain itu dia juga mempunyai motosikal berkuasa tinggi iaitu Ducati Monster yang dibelinya sebelum meninggalkan saya."
Dalam prosiding yang berlangsung pada Selasa, peguam Aidil, Rushdan
Sujak Rafee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir
kerana sedang mempersiapkan diri bagi perlawanan Liga Malaysia.
Rita yang diwakili peguam Datuk Zaidi Mohd Zain membuat tuntutan
nafkah berjumlah RM102,000 daripada Aidil sebagai nilai tunggakan selama
20 bulan.
Sumber: Mynewshub.cc