Mukhriz Mahathir: Dulu dan Kini...


Boleh dikatakan ramai yang tidak mengenali nama "Mukhriz Mahathir" di era pentadbiran bapanya ketika menjawat jawatan Perdana Menteri. Boleh dikatakan juga ramai yang tidak tahu nama itu selain anak Tun M yang lain seperti Marina, Mirzan dan Mokhzani.

Jika kenal sekali pun dengan nama itu, mungkin hanya diperingkat akar umbi Pemuda UMNO lewat sebelum Tun M meletak jawatan, ekoran Mukhriz ketika itu difahamkan adalah salah seorang Exco Pemuda UMNO. Itupun beliau masih dikatakan kurang popular.

Mungkin ketika itu sudah menjadi pegangan hidup Tun M ketika menjawat jawatan Presiden UMNO, yang mana keluarganya termasuk Mukhriz seolah "dilarang keras" untuk menonjol dalam bidang kepimpinan politik, atau bakal menerima nasib "dicantas" bapa mereka sendiri.

Penulis pernah diceritakan tentang bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Mohamad Rahmat pernah cuba menyelit nama Mokhzani di dalam senarai calon pilihanraya, namun "dikerat" Tun M kemudiannya.

Mungkin mengambil iktibar dari perkara yang berlaku pada abangnya, maka Mukhriz tidak "excited" mengejar jawatan dan lebih tertumpu memberi khidmat kepada masyarakat secara "low profile".

Sebetulnya, nama Mukhriz pada pengalaman penulis mula melonjak selepas bapanya meletak jawatan. Meletakkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO ketika itu, barulah rakyat Malaysia "kenal" dengan nama dan rupa Mukhriz.

Ketika itu, antara reaksi orang ramai ialah Mukhriz itu "botak" dan "bersahaja"orangnya. Namun "sengat"nya kelihatan seolah setajam bapanya dan kekuatan "vokal"nya mampu membuat ramai "tidak tidur malam".


Namun, ada yang juga yang memandang Mukhriz berada di dalam bayangan Tun M, dibesarkan dalam budaya keluarga aristokrat, elit dan hanya berada di dalam "inner circle"nya yang tersendiri serta kurang memahami golongan kebanyakkan.

Timbul juga persepsi bahawa Mukhriz bukan anak kampung, tidak bergelumang "selut geleboq" dan tidak pernah menyerkap ikan darat di belakang "kubota". Dia seolah lahir dalam "lubuk emas" dan "tilam empuk" di dalam keluarga ternama...

Bagaimanapun, zaman tersebut sudah berlalu. Dari memegang jawatan Timbalan Menteri di Kerajaan Pusat, Mukhriz kini sudah hampir dua tahun diberi amanah oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menggalas tugas sebagai Menteri Besar Kedah.

Tidak menolak dan sanggup menghadapi cabaran mentadbir negeri kelahiran bapanya, Mukhriz mungkin sedar bahawa apa yang bakal ditempuh itu bukan calang-calang amanah yang ditanggungnya.


Rakyat Kedah sangat unik untuk dibandingkan dengan negeri-negeri lain, khususnya suasana dan budaya di ibu negara yang serba-serbi ada. Anak Kedah mungkin tahu apa uniknya di bumi Jelapang Padi itu.

Sepanjang hampir dua tahun Mukhriz menjadi Menteri Besar dan penulis dapat melihat perubahan yang berlaku sama ada dari sudut pentadbiran di negeri itu, mahupun perubahan persepsi terhadap personaliti diri beliau.

Pada satu sidang Dewan Undangan Negeri, Mukhriz pernah memberitahu bahawa dia juga "anak kampung" yang bergelumang dengan "selut". Meskipun kenyataan itu dipandang sinis dan diragui segelintir pihak, ia tetap fakta benar darinya.

Benar mungkin Mukhriz tidak bergelumang selut sebagaimana anak-anak bendang di Pendang atau Pokok Sena, namun ia tidaklah seperti segelintir yang mengaku "anak Kedah" tapi tidak pernah meniti di batas ban dan tali air, kan?

Fasa demi fasa, penulis dapat menyaksikan seorang anak Perdana Menteri yang lahir dalam "lubuk emas" berjaya mentransformasikan negeri Kedah sedikit demi sedikit di dalam pentadbirannya.

Kedah yang lima tahun sebelum ini hanya bergantung pada sumber alam semulajadi seperti balak, mineral, pasir, pertanian dan sebagainya, kini telah kembali menerima kekayaan ekonomi dari sumber lain seperi pelaburan, pelancongan, teknologi dan lain-lain lagi.

Menambah baik apa yang pernah dilaksanakan arwah Ustaz Azizan Razak, termasuk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang lebih teratur, lengkap dan layak digelar IPT, Mukhriz turut berusaha memastikan skuad Hijau Kuning gah di persada sukan bola sepak negara.

Benarlah bahawa perubahan dari sudut pentadbiran dan kesan-kesannya tidak dapat dilihat dalam tempoh tiga hingga lima tahun, namun strategi serta perancangan yang diatur dengan cara yang sangat berhati-hati membuat ramai yang yakin ia akan membuahkan hasil yang sangat positif.

Paling menarik di hati penulis ialah kesanggupan Mukhriz untuk "berani berubah". Dari berbaju lengan panjang, bertali leher dan berkasut kulit berkilat, beliau kini dilihat menjinak-jinakkan diri dengan jubah, kain pelikat berbaju cekak musang, mengenakan lebai dan hanya bersandal berjalan kaki bersama rakyat.

Selain itu, cara Mukhriz yang suka mendekati rakyat di kampung-kampung, berborak santai, bergebang di kedai kopi, bergelak ketawa bersama kanak-kanak dan menziarahi rakyat yang ditimpa musibah, jelas menunjukkan jiwa bersama rakyat itu bukan pura-pura atau dibuat-buat.

Jika dulu tersebar meluas gambarnya ber"dancing" bersama isterinya, Datin Paduka Norzieta Zakaria, dalam satu parti di laman-laman internet oleh pihak yang "nakal", kini Mukhriz dilihat sering hadir di majlis-majlis agama, bergaul rapat dengan ulama-ulama pondok dan tahfiz, serta sering diminta mengimamkan solat berjemaah.


Sebetulnya bukan mudah untuk menjadi "Mukhriz Mahathir". Boleh dikatakan seluruh mata rakyat Kedah dan negara sedang bertumpu padanya. Kalau bukan calang-calang orang, boleh "lari malam" dibuatnya.

Namun penulis melihat Mukhriz tetap Mukhriz. Dibahunya terletak amanah dan harapan rakyat Kedah yang menggunung setinggi puncak Jerai, seluas sawah bendang yang sejauh mata memandang, dan beliau tetap teguh berkhidmat untuk rakyat.

Justeru itu, tidak hairanlah Mukhriz di pandang tinggi dan kini menjadi idola di kalangan anak-anak muda di seluruh Kedah. Lengkapnya "pakej" yang dimiliki Mukhriz itu, insyaAllah, akan terus menjadikan Kedah #AmanMakmur serata-ratanya.

Walau bagaimanapun, sudah menjadi lumrah manusia bahawa kita memiliki kekhilafan ekoran tiada manusia yang sempurna selain Rasulullah SAW, dan begitulah juga Mukhriz turut mempunyai beberapa kelemahan.

Meskipun begitu, dengan keberkatan bumi Kedah, sokongan dari barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, agensi-agensi dan jabatan, Kerajaan Persekutuan dan semua anak-anak Kedah yang ikhlas mendoakan negeri Jelapang Padi ini terus makmur, dengan izin Allah, penulis percaya ia akan membantu Mukhriz memastikan negeri bertuah ini terus dilimpahi rahmat dariNya.

Demi anak-anak Kedah, semoga negeri Kedah terus #AmanMakmur, kekal dilimpahi kesejahteraan #SerataRatanya. Amin. Wallahu'alam. -Amir Hamzah/Utaranews.com