KUALA KETIL – Kerajaan Negeri Kedah yakin sasaran pembinaan 6,000
unit rumah setahun pada tahun ini dapat dicapai sekaligus membantu
menambah pelaburan asing di negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata
pembinaan rumah tersebut yang turut akan ditumpukan kepada kawasan luar
bandar adalah penting bagi memastikan penghijrahan penduduk ke kawasan
bandar dapat dikurangkan.
“(Ini) kerana pembangunan yang datangnya daripada pelaburan seperti
taman industri, kita tak nak hanya tumpu kepada kawasan bandar, dan
untuk menampung itu kemudahan perumahan mesti mencukupi.
Pelabur sentiasa tanya, kalau mereka pergi satu-satu kawasan tu,
mereka akan tanya dari mana datangnya pekerja-pekerja, adakah mereka ada
kemudahan rumah,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan
kunci rumah di Taman Desa Bidara di sini hari ini.
Jelasnya walaupun pada tahun 2013, kerajaan negeri tidak mencapai
sasaran tersebut, namun prestasi pada tahun 2014 yang memberangsangkan
mampu menjadi pendorong.
“Pada tahun 2013, dalam tempoh 7 bulan kita hanya dapat siapkan 4,801
unit rumah, namun pada 2014 kita siapkan untuk ditawar 2,322 unit rumah
manakala dalam proses pelaksanaan iaitu mendapat kelulusan dan
pembinaan ialah 10,595 unit menjadikan jumlahnya sebanyak 12,917 unit.
Ini dua kali ganda daripada sasaran kita,” katanya.
Mukhriz berkata keyakinan itu turut didorong oleh bantuan daripada
agensi-agensi kerajaan yang tampil membantu seperti Syarikat Perumahan
Negara Berhad dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Dalam pada itu kerajaan negeri Kedah mulai tahun ini di bawah Dasar
Perumahan Negara akan melakukan penjenamaan semula ke atas kategori
rumah mampu milik.
Rumah kos sederhana akan dikenali sebagai Rumah Kasih Rakyat, rumah
kos sederhana rendah akan dikenali sebagai Rumah Aman Kedah manakala
rumah kos rendah akan dikenali sebagai Rumah Makmur Kedah.
Mukhriz berkata penjenamaan semula kategori rumah berkenaan adalah dilihat dari segi aspek pemasaran.
“Kalau kita kategorikan sesuatu projek sebagai kos rendah, dan sebagainya ini menggambarkan keupayaan satu-satu isi rumah itu.
“Kita nak kualiti dan kemudahan adalah sama, tiada yang tak elok,
dari segi penjenamaan semula akan timbullah perasaan lebih selesa dengan
rumah yang kita tawarkan,” katanya.
Terdahulu Mukhriz menyampaikan kunci rumah dalam satu majlis kepada 406 pemilik rumah di Desa Bidara.
Projek perumahan syarikat Darulaman Realty Sdn Bhd terbahagi kepada
84 unit rumah kos rendah dan 322 unit rumah kos sederhana. – BERNAMA