Nafkah Anak: Aidil Zafuan Diperintah Mahkamah Bayar RM3,000 Sebulan Di Akaun Rita

Bintang bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abd Razak akhirnya diperintah mahkamah untuk membayar RM3,000 sebulan sebagai tanggungan nafkah dua anaknya bersama bekas isterinya, pelakon, Rita Rudaini.

Kes yang berlarutan sejak sekian lama itu diputuskan oleh Hakim Syarie, Abdul Halim Abu Samah membuat keputusan tersebut setelah meneliti kesemua dokumen yang dikemukakan kedua-dua pihak di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, semalam.

Selain itu, pihak mahkamah turut memerintahkan Aidil memasukkan jumlah tersebut ke dalam akaun Maybank milik Rita bermula Februari 2015 dan selewat-lewatnya 5 haribulan pada setiap bulan.



Walau bagaimanapun, hakim mahkamah tetap menolak tuntutan bayaran bagi susu, lampin pakai buang serta pengasuh yang dituntut Rita sebelum ini.

“Keterangan plaintif tidak selari dengan dokumen yang dikemukakannya,” kata Abdul Halim dalam kenyataan penghakimannya itu.

Namun mahkamah dilaporkan telah bersetuju dengan tuntutan aktres filem itu terhadap kos perubatan anak-anak hasil perkongsian hidup bersama Adil selama tempoh beberapa tahun.

“Walaupun defendan (Aidil) dalam keterangannya memaklumkan beliau menyediakan kad perubatan dan akaun simpanan untuk anak-anak namun ia tidak dibuktikan dengan sebarang dokumen,” kata hakim mahkamah itu.

Selain itu, hakim berkenaan turut mendapati Aidil tidak mengambil inisiatif untuk membawa Rita dan kedua-dua anak tinggal di rumah yang disediakan majikannya sebelum ini.

“Itu menunjukkan defendan reda anak-anaknya tinggal bersama plaintif di rumah kelaminnya,” kata Abdul Halim dalam penghakimannya.

Sebelum itu, Rita difahamkan telah membuat tuntutan sebanyak RM5,392 sebulan untuk nafkah Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, yang didakwa merangkumi pelbagai perbelanjaan termasuk makan, minum dan tempat tinggal. -Kedahnews.com