Na'uzubillah..! Bahana Abaikan Perintah Allah SWT...


UMAT Islam masa kini meng­hadapi dilema akibat sikap dan tingkah laku mereka. Ku­rang penelitian dalam aspek strategi dan pemahaman mengenai perjuangan politik dalam Islam menyebabkan para pemimpin po­litik gagal meyakinkan masyarakat bahwa merekalah harapan dan penaung kepada agama dan umat Islam.

Objektif perjuangan parti politik yang lebih mirip kepada pe­rebutan kuasa daripada mempertahankan agama dan umat adalah salah satu ciri yang menyebabkan ketrampilan dan kewibawaan para pemimpin politik umat Islam kini kurang disegani dan dihormati oleh masyarakat dalam negara. 

Apabila suasana begini wujud dalam arena politik umat Islam maka masyarakat berpandangan; “ Ke­semua parti politik yang diterajui oleh umat Islam dalam negara adalah lemah.” Pandangan ini mempersoalkan kewibawaan para pe­mimpin dan parti politik.

Perpecahan umat Islam akibat perjuangan politik yang berteraskan perebutan kuasa telah sampai ke tahap bahaya untuk agama Islam dan umat. Semuanya berlaku akibat terlalu yakin bahawa parti politik mereka adalah terlalu berpengaruh dan kuat sehingga lupa bahawa mereka berada di ambang kehancuran. 

Sikap merasai diri terlalu hebat, berpengaruh dan pujangga Islam merupakan satu penyakit yang melanda para pemimpin dan ahli-ahli politik umat Islam masa kini.

Jika parti politik terlalu kuat dan berpengaruh sehingga dapat bergabung dengan golongan yang dianggap musuh Islam maka kenapa perundangan Islam menjadi isu yang hebat ditentang oleh rakan seperjuangan politik tersebut? 

Ciri-ciri musuh Islam dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran begitu mudah untuk difahami. Kenapa perkara ini diabaikan dalam mengendalikan urusan politik dan kepimpinan? Sejauh manakah kefahaman mengenai politik dalam Islam direalisasikan jika perundangan Allah hendak dilaksanakan dalam negara?

Allah menjelaskan mengenai penentangan golongan yang memusuhi Islam secara terperinci dalam al-Quran. Jika al-Quran menjadi panduan dan tatacara hidup dalam setiap aspek kehidupan maka para pemimpin politik umat Islam tidak akan mengorbankan prinsip dan objektif perjuangan untuk melaksanakan perundangan Allah di muka bumi. 

Realiti yang ditonjolkan masa kini lebih mirip kepada perjuangan kebendaan dan keduniaan di mana kuasa menjadi matlamat utama perjuangan sehingga mengetepikan peringatan Allah dalam perjuangan politik.

Persoalan dalam minda ma­syarakat Islam masa kini ialah ke manakah hala tuju kepimpinan umat Islam dalam keadaan parti politik yang dipimpin oleh umat Islam semakin hari kian lemah sehingga ke tahap terpaksa berkompromi berkaitan akidah Islam. 

Jika ayat-ayat suci al-Quran sering diperdengarkan kepada masyarakat maka setiap strategi politik dan pelaksanaannya mestilah bertepatan dengannya kerana setiap perkataan Allah di dalam al-Quran adalah bertepatan dengan konteks dan suasana zaman sehingga Hari Akhirat.

Kelemahan memahami konteks ajaran Allah berkaitan dengan sosiopolitik dan ekonomi adalah punca utama umat Islam sering kecundang dalam perjuangan politik.

Muhasabah diri dan kritikan daripada masyarakat perlu dijadikan asas kepada pengukuhan parti politik. Sikap terlalu ghairah dengan kemenangan dan kuasa sepatutnya dikikis dalam minda para pemimpin politik agar mereka menyedari bahawa kemenangan dan kekalahan adalah atas ketentuan Ilahi. 

Jika strategi perjuangan politik tidak bertepatan dengan konteks ajaran Allah maka kemenangan yang diperolehi adalah berbentuk sementara bahkan kemenangan tersebut mendatangkan keburukan melebihi kebaikan kepada agama dan umat.

Pemimpin parti politik umat Islam sepatutnya mempunyai minda yang bernas sehingga mampu meramalkan sesuatu strategi yang boleh menjangkau masa yang jauh bagi kepentingan agama dan umat, bukan sekadar menyusun strategi jangka pendek. 

Sikap tidak teliti dan mengetepikan ajaran al-Quran dan hadis berkaitan dengan politik merupakan tabiat para pemimpin umat Islam masa kini. Hasilnya, setiap perundangan Islam yang ingin dilaksanakan sama ada berkaitan dengan undang-undang peribadi umat Islam menjadi isu penentangan masyarakat bukan Islam.

Perpecahan dan kerakusan untuk berkuasa merupakan fenomena parti politik yang diterajui oleh umat Islam masa kini. Perpecahan yang wujud di kalangan parti politik umat Islam menyebabkan umat Islam menjadi minoriti dalam negara walaupun negara ini merupakan satu negara Islam yang mempunyai majoriti umat Islam.

Dalam minda para pemimpin politik umat Islam tidak wujud konsep kompromi dan tolak ansur dalam aspek kuasa dan kepimpinan kerana ketamakan dan prinsip perjuangan politik tidak berteraskan konsep kepimpinan Islam secara jelas dan jitu.

Kebanggaan dengan pencapaian politik tanpa meneliti dan memahami konsep kepimpinan dan kelemahan diri boleh menghancurkan kuasa politik umat Islam.

Apabila kelemahan dan korupsi semakin berleluasa di kalangan para pemimpin dan pentadbir maka kuasa politik semakin hari kian lemah. Ketika ini usaha untuk memperbaikinya tidak mungkin dicapai kerana umat Islam sudah hilang panduan hidup berteraskan ajaran al-Quran dan hadis.

Oleh itu Allah memperingatkan umat Islam bahawa ‘setiap umat akan hadapi kehancuran’. Kehancuran adalah akibat daripada kelemahan dalam kepimpinan dan pentadbiran setiap umat.

Untuk membina tamadun sesuatu umat memakan masa terlalu lama tetapi untuk menghancurkannya hanya memerlukan masa yang singkat lantaran kerakusan manusia yang gila kuasa.

Ketika ini para pemimpin politik umat Islam sepatutnya muhasabah diri masing-masing. Sikap kompromi serta tolak ansur sesama umat Islam sepatutnya dibina bagi mengembalikan kekuatan umat.

Peringatan Allah mengenai kehancuran sesuatu umat di dalam al-Quran sepatutnya dijadikan panduan umat Islam kerana peristiwa yang berlaku dalam sejarah manusia akan berulang jika tidak dijadikan teladan dalam mengemudikan kepimpinan dan pentadbiran negara.

Kekuatan umat Islam bergantung kepada kesatuan akidah yang berteraskan ketauhidan Allah. Persaudaraan dalam Islam sepatutnya disuburkan bukan dirobek dan diruntuhkan lantaran keegoan, kesombongan dan kerakusan kuasa.

Kepincangan dalam jalinan saudara seagama mengakibatkan umat Islam berpecah dan bermusuhan sesama sendiri. Hasilnya hasrat untuk melaksanakan hukum Allah di dalam negara menjadi isu bantahan golongan yang bermusuhan dengan Allah.

Soalnya di manakah perjuangan Islam sebenar, ke manakah arah haluannya, objektif dan prinsip perjuangan Islam seperti digariskan oleh tokoh politik Islam semasa parti masing-masing ditubuhkan?

Usah persendakan hukum Allah dengan menjadikannya satu isu permusuhan yang membangkitkan sentimen perkauman dan agama yang boleh menghancurkan negara yang aman damai.

Sedarlah selagi umat Islam berpecah maka semakin tajam taring musuh Islam. Bersatulah demi agama, bangsa dan negara.

*Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahman, PENULIS ialah profesor madya di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Utusan