Gambar yang dimuat naik oleh Tauke di Instagram miliknya pada Khamis |
Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, berkata, dia
melakukan perkara itu kerana terlalu gembira dengan kejayaan Zizan yang
mampu memiliki kereta mewah hanya menjadi seorang pelawak.
“Sejujurnya saya tidak tahu kereta itu antara penyebab berlakunya kontroversi antara Zizan dan Emma.
”Bukan niat saya untuk menunjuk-nunjuk atau sengaja menghangatkan
lagi keadaan tetapi saya berbuat demikian kerana bangga dengan kejayaan
Zizan sebagai kawan saya,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi
di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Zizan mengakui hubungan cintanya dengan Emma Maembong
berakhir kerana kedegilaannya untuk memilki sebuah kereta mewah yang
dihalang oleh kekasihnya itu.
Bagaimanapun Emma dalam satu status di Twitter miliknya pada Jumaat
seolah-olah mempersoalkan kenyataan Zizan mengenai kereta itu sebaliknya
meminta pelakon berkenaan menerangkan sebab sebenar hubungan mereka
putus.
Dalam pada itu, Tauke berkata, apabila menyedari kesilapannya itu dia
telah pun memadam gambar berkenaan beberapa jam selepas ia dimuat naik
pada Khamis lalu.
Jelas Tauke, dia rasa bersalah terhadap tindakannya itu kerana masa
yang dipilih memuat naik gambar berkenaan adalah kurang sesuai malah
memburukkan keadaan.
“Zizan tidak meminta saya memadam gambar tersebut tetapi dia hanya
menyatakan rasa resah terhadap reaksi peminat dan saya memahami
situasinya dan terus padam gambar itu,” katanya.
Sementara itu, Tauke berkata, sebagai sahabat dia berharap Zizan
dapat menyelesaikan masalahnya dengan Emma dengan baik dan sentiasa
mendoakan kebaikan mereka berdua.
“Untuk mencampuri urusan peribadi mereka itu adalah perkara paling
terakhir yang boleh dilakukan tetapi sebagai sahabat saya mendoakan yang
terbaik buat mereka berdua,” ujarnya.
Dalam pada itu berdasarkan semakan mStar Online, harga sebuah kereta
mewah Ferrari dari model F430 dianggarkan melebihi RM1.5 juta. - mStar