PasMa Cabar PAS Pecat Keahlian, Tidak Akan Tinggalkan PAS Seperti Diminta Presiden

Sebahagian pimpinan PasMa, kumpulan dalam PAS yang tidak setuju dengan kenyataan pucuk pimpinan parti mengenai Pakatan Rakyat.
PasMa menegaskan bahawa mereka tidak akan keluar dari PAS dan mencabar parti itu untuk mengambil tindakan memecat keahlian mereka sekiranya benar-benar berhajat mahu melihat mereka tinggalkan parti tersebut.

Naib Presiden PasMa Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, dalam kenyataannya yang dipetik dari sebuah portal menjelaskan bahawa tidak ada seorang pun dari ahli PasMa yang mahu meninggalkan parti itu sebagaimana yang diminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ingin saya tegaskan di sini, sehingga kini, tiada lagi pihak (ahli PasMa) yang bercadang untuk keluar parti. Ini kerana kita memperjuangkan parti (PAS), maka isu keluar PAS ini tidak timbul.

"Kami NGO, bebas untuk memilih mana-mana parti, tetapi jika parti itu sendiri yang tidak minat dengan keahlian, atau mahu memecat kita, maka tindakan itu harus dilakukan parti itu sendiri," kata Che Ibrahim seperti yang dipetik dari portal berita berkenaan.

Che Ibrahim mengulas kenyataan Abdul Hadi yang memberi amaran supaya mana-mana ahli PAS yang tidak sehaluan lagi dengan parti dan dasarnya supaya meninggalkan PAS segera dari terus "menebuk kapal" sendiri.

Selain itu, Naib Presiden PasMa Kelantan itu juga mendakwa Presiden PAS keliru dengan pendirian NGO berkenaan dan sepatutnya "berterima kasih" pada PasMa.

"Presiden (Hadi) sepatutnya tidak keliru dengan peranan PasMa kerana beliau sendiri kenal hampir semua pimpinan PaSMa di peringkat pusat dan negeri. PAS hendaklah berterima kasih kepada PasMa kerana membantu memperkuatkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Jika DAP dan PKR sebagai rakan PAS dalam PR mengalu-alukan peranan PasMa, mengapa PAS masih keliru?

"Pada pendapat saya, ini bukan kekeliruan, tetapi PAS sendiri kini dilihat menuju ke arah perjuangan Melayu, bukan perjuangan Islam. Oleh sebab itu, beberapa kekeliruan timbul dan dilihat bertentangan dengan matlamat PR sendiri," katanya lagi.

Sementara itu Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, dia enggan peduli dengan kenyataan Presiden PAS itu.

"Saya sebenarnya tidak 'ambil pusing' dengan kenyataan itu. Saya tidak anggap ia serius kerana ia adalah kenyataan ulangan, sama seperti sebelum ini," tegasnya. -Kedahnews.com