Dr Abu Bakar Abdullah |
ALOR SETAR - Pegangan agama longgar antara faktor pendorong segelintir
individu bertindak melampaui batas hingga sanggup melakukan tindakan
kejam seperti membunuh bagi memastikan hajat mereka tercapai.
Pengarah Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Kaunseling & Psikologi,
Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Dr Abu Bakar Abdullah berkata, banyak
faktor lain turut mendorong berlaku jenayah kejam secara berturut-turut
sejak belakangan ini walaupun faktor keagamaan banyak mempengaruhi
sesuatu tindakan.
Menurutnya, individu yang kuat pegangan agama mudah mendapat ketenangan
jiwa dan mengawal diri apabila melakukan perkara yang tidak sepatutnya
kerana boleh membezakan antara baik dan buruk.
“Apabila tersalah melakukan sesuatu perkara, mereka boleh berfikir secara waras untuk kembali ke pangkal jalan.
“Mereka juga boleh menerima setiap dugaan, qada dan qadar dengan
berlapang dada dalam apa juga situasi,” katanya kepada Sinar Harian
ketika diminta mengulas mengenai kejadian bunuh melibatkan pasangan
suami isteri di Kuala Pegang, Baling.
Beliau berkata, faktor lain yang turut menyumbang termasuk emosi tidak
stabil, fikiran dan mental bercelaru, tingkah laku tidak dapat dikawal,
desakan kewangan, aspek kekeluargaan serta hubungan antara manusia.
“Beberapa ciri individu yang sering hidup tertekan termasuk suka memberontak apabila melakukan sebarang perkara,” katanya.
Dalam pada itu, jenayah kejam yang sebelum ini hanya berlaku di luar
negara mula menular masuk ke dalam masyarakat tempatan disebabkan
pendedahan terhadap dunia luar tanpa batasan berbanding zaman dahulu.
“Individu yang berdepan dengan masalah jiwa atau tidak boleh mengawal
diri boleh mendapatkan bantuan dari pakar psikologi untuk mengenal pasti
punca masalah serta mencari jalan penyelesaian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian