Pemandu Singapura Terlalu "Biadap" Hingga Terpaksa Diumpan Minyak Percuma?


SINGAPURA – Bagi rakyat Malaysia yang sering berkunjung ke Singapura mungkin biasa melihat gelagat pemandu kenderaan di republik itu yang ‘biadap’ di jalan raya apatah lagi jika kereta atau motosikal tersebut menggunakan plat pendaftaran Malaysia.

Namun bermula hari ini, jangan bimbang kerana sikap kurang ajar itu buat sementara waktu dijangka hilang seketika apabila ramai pemandu Singapura berkelakuan lebih berhemah malah sopan santun sepanjang Kempen Berbudi Bahasa Di Jalan Raya.

Program tahunan hasil inisiatif pihak pemerintah itu bertujuan melahirkan rakyat Singapura berakhlak terpuji ekoran budaya positif tersebut semakin berubah kepada sikap penting diri untuk sentiasa menang atau disebut dalam dialek tempatan sebagai kiasu.

Stesen radio berita milik pemerintah, 938LIVE melaporkan, kempen digerakkan oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya dan juga Polis Singapura itu mendapat kerjasama daripada firma penyedia insurans dalam talian popular tempatan, DirectAsia.com.

Berbeza dengan kempen pada tahun-tahun sebelum ini, ratusan pemandu sopan hanya menerima hadiah misteri dan sijil penghargaan, tetapi kali ini sejumlah 100 pemandu ‘bertuah’ bakal dapat baucar petrol percuma bernilai S$80 (RM213).

Gambar hiasan
Mereka akan dipilih hasil pemerhatian anggota polis trafik Singapura di lokasi yang sering berlaku kes gejala buli jalanan atau pelanggaran peraturan jalan raya seperti lintasan belang untuk pejalan kaki, zon had laju atau persimpangan lampu isyarat.

Proses pemantauan ini dijangka mengambil masa lebih sebulan dan pemandu yang dikesan memandu dengan penuh bertimbang rasa akan didekati anggota polis trafik untuk menerima hadiah baucar sumbangan daripada syarikat minyak antarabangsa Shell itu.

Fasa kedua melibatkan pemandu mengisi minyak di stesen Shell akan menerima pelekat cermin DirectAsia.com dan mereka perlu merakam foto dengan diri sendiri kemudian dihantar menerusi laman sosial Facebook rasmi kempen itu, Road Courtesy.

Seramai 20 pemenang akan dipilih selepas berjaya jawab soalan berkaitan perangai buruk pemandu Singapura dan mereka juga akan dapat baucar petrol S$80 manakala seorang pemenang utama bakal menerima baucar minyak S$500 (RM1,333). – Agensi