Pemuda PAS Kelantan Beri Amaran Pada Guan Eng


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS (DPP) Kelantan memberi amaran kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya menarik balik kenyataan beliau yang mendakwa kerajaan Kelantan tidak tahu menjalankan tanggungjawab dengan baik sewaktu musibah banjir baru-baru ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika Guan Eng tidak berbuat demikian maka kesemua ahli DPP Kelantan akan sentiasa mengingati kecaman yang dilemparkan pemimpin DAP itu ke atas kerajaan PAS Kelantan.

“Saya kira Yang Amat Berhormat bolehlah menarik balik kenyataan tersebut jika ia benar sebagaimana yang dilaporkan.  

"Degilnya Yang Amat Berhormat atas kenyataan ini, demikianlah akan tebalnya ingatan kami terhadap kecaman Yang Amat Berhormat,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan Guan Eng mengutuk kerajaan PAS Kelantan berikutan insiden banjir di negeri itu.

Beliau antara lain dilaporkan menyebut, jika Kerajaan Kelantan tidak tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah kerajaan negeri, adalah lebih baik jangan menjadi kerajaan negeri itu.

Ahmad Fadhli bagaimanapun meminta Guan Eng membuat penafian terhadap laporan akhbar itu jika beliau tidak membuat kenyataan seperti dilaporkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang untuk segera mengambil tindakan perlu sekiranya berlaku salah lapor di pihak akhbar terhadap kenyataan beliau,” tegasnya. -Kedahnews.com