Pemuda PAS Marah Pada Gadis Bertudung Peluk Artis K-Pop Lebih Dari Insiden Peluk Anjing

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Suhaizan Kayat benar-benar marah pada aksi gadis-gadis yang memeluk artis K-Pop dari Korea hinggakan menyifatkan kemarahannya melebihi dari marah pada isu aksi memeluk anjing yang pernah berlaku sebelum ini.

Meluahkan rasa dukacita dengan sikap beberapa gadis Islam yang bertudung membenarkan diri mereka dipeluk dan dicium oleh artis K-Pop dari Korea dalam satu konsert baru-baru ini.

Suhaizan Kayat dalam kenyataannya berkata, perbuatan itu seolah-olah mahu mengundang satu lagi musibah besar ke atas negara ini selepas banjir buruk yang melanda bebera negeri.

“Dukacita… Sungguh saya dukacita. Tidak cukupkah musibah besar yang telah berlaku. Belum pun bekas-bekas sisa musibah terhapus manusia terus leka dalam kemaksiatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook berhubung insiden berkenaan.


Suhaizan turut menegaskan bahawa imej gadis bertudung memeluk penyanyi K-Pop tersebut amat mencalar hati dan perasaan umat Islam negara ini.

Kedahnews.com semalam menyiarkan laporan mengenai rakaman video memaparkan beberapa gadis Melayu bertudung naik ke pentas dan membenarkan diri mereka dipeluk dan dicium oleh anggota kumpulan K-Pop B1A4 dikecam ramai pihak.

Boleh dikatakan hampir semua komen dari warga netizen menyifatkan adegan gadis-gadis bertudung itu amat memalukan agama dan masyarakat Islam Malaysia.