Penduduk Enggan Pindah: Projek Tebatan Banjir Alor Setar, Pendang, Bandar Baharu Tergendala

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Kedah akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan tiga projek tebatan banjir di Alor Setar, Pendang dan Bandar Baharu bernilai RM400 juta yang kini mengalami kelewatan akibat pelbagai masalah.
 
Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata jawatankuasa yang dianggotai Jabatan Pengairan dan Saliran serta beberapa agensi kerajaan negeri dan pusat itu akan bermesyuarat setiap dua bulan sekali bagi menyelesaikan masalah yang timbul.
 
Beliau berkata masalah pengambilan tanah yang belum selesai ekoran penduduk setinggan di kawasan terbabit enggan berpindah, telah merencatkan perjalanan projek itu yang bermula tahun lepas dan sepatutnya dijadual siap tahun depan.
 
"Kira-kira 1,000 keluarga melibatkan tiga kawasan di Sungai Pendang, Sungai Anak Bukit dan Sungai Bandar Baharu enggan berpindah walaupun ditawarkan pampasan oleh kerajaan persekutuan," katanya pada sidang media selepas melawat Bazar Melayu Empire di sini hari ini.
 
Beliau berkata kerajaan negeri berharap penduduk terlibat memberikan kerjasama dalam melaksanakan projek itu bagi mengelakkan banjir besar yang melanda Kedah pada 2010, berulang.

Kerajaan negeri, kata Badrul Hisham, bimbang dengan trend banjir besar yang berlaku setiap lima tahun sekali dan sekiranya projek tebatan banjir itu siap, ia mampu mengurangkan kesan banjir terutama di kawasan rendah di Alor Setar.
 
"Kita perlu mengambil iktibar dengan banjir besar yang melanda negeri-negeri pantai timur terutama Kelantan. Projek tebatan banjir ini perlu diberi perhatian dan perlu disegerakan," katanya. - Bernama