Pernah Dibuang Sekolah, Pelajar Teruja Dapat Sambung Belajar Di Alor Setar

Nur Erny Amira Md Zalani, 14, (tengah) yang tercicir dalam pelajaran sebelum ini diberi penerangan oleh rakan-rakan sekelasnya yang lain mengenai buku teks Tingkatan 2 yang diterimanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Kedah di sini hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR - Seorang pelajar tingkatan dua tidak menyangka masih mendapat peluang menyambung pelajaran walaupun dia tidak hadir ke sekolah sejak Mei tahun lepas.

Oleh kerana itu Nur Erny Amira Md Zalani, 14, telah dibuang daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan, Kuala Kedah dekat sini pada Ogos tahun lalu.
  
Namun Jabatan Pelajaran Negeri Kedah sanggup memberi peluang kedua kepadanya untuk menyambung persekolahan.

Dia yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai di sini berkata, dia tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa menjaga ibunya yang sakit serta tiga adiknya yang masih bersekolah.

"Saya terpaksa menunggang motosikal untuk menghantar adik-adik ke sekolah yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari rumah kami sebelum ini di Taman Kota Nelayan Kuala Kedah.

"Semasa emak sihat, dia yang hantar dan ambil adik-adik dari sekolah. Saya terpaksa berkorban untuk beri peluang adik-adik bersekolah," katanya kepada pemberita.

Nur Erny Amira merasa kesal selepas dibuang sekolah dan berfikir harapan untuknya menamatkan persekolahan sudah tidak ada.

"Namun saya beryukur sebab ada pihak yang perihatin membantu saya untuk kembali ke sekolah," katanya.

Kakak sulungnya Nor Atin Atika, 21, yang sudah berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan mengambil tanggungjawab menjaga enam orang adiknya yang berumur  antara 7 hingga 18 tahun selepas ibu mereka meninggal.

Dua adik lelakinya yang sudah bekerja turut membantu menampung persekolahan empat orang adik mereka yang lain.

Kes keciciran Nur Erny Amira dikesan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah pada Disember tahun lepas dan mengemukakan rayuan kepada  Jabatan Pelajaran Negeri.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abdul Rani berkata surat jawapan kepada rayuan mereka untuk pelajar itu bersekolah semula diterima pada 19 Januari lepas. –  Bernama