PLKN 2015 Ditangguh, Kerajaan Jimat RM400 Juta


Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sesi 2015 yang telah diputuskan untuk ditangguh pada tahun ini akan menyebabkan negara menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM400 juta.

Dalam ucapan perutusan khas berhubung ekonomi negara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa Semakan Bajet 2015 hari ini  menjelaskan bahawa penjimatan itu selaras dengan hasrat kerajaan pusat untuk menghadapi situasi ekonomi global tidak menentu.

"Dengan ini saya mengumumkan penangguhan program PLKN sebanyak RM400 juta, ia bagi membolehkan program tersebut dikaji dan disemak semula," ujar Najib ketika melakukan perutusan khas tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi tadi.

ne_08.1

Tambah Menteri Kewangan itu lagi, dalam menghadapi kejatuhan nilai matawang Ringgit dan harga minyak, program tersebut turut bakal dikaji dan disemak semula.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien yang mengulas mengenai keputusan itu menjelaskan bahawa ia tidak akan menjejaskan perlaksanaan transformasi PLKN yang dirancang kementeriannya.

Katanya, sebuah makmal bakal diwujudkan pada bulan depan dan akan menghimpun semua pihak yang berkepentingan bagi membuat penelitian secara menyeluruh terhadap kerangka transformasi dan keputusan penangguhan tersebut.

"Penangguhan PLKN selama setahun ini sama sekali tidak memberi kesan besar dan menjejaskan pelaksanaan program PLKN secara keseluruhannya pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini. -Kedahnews.com