Jakarta - Pihak berkuasa di Jakarta komited berusaha menangani masalah keselamatan di ibu negara Indonesia itu dengan pelbagai pendekatan kaedah pencegahan jenayah di sekitar ibu kota tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Metro Jaya, Martinus Sitompul, tindakan meningkatkan aktiviti pencegahan oleh pihak berkuasa sangat perlu bagi menangani jenayah yang berlaku di Jakarta.
Katanya, antara jenayah yang sering berlaku di ibu kota itu adalah seperti kecurian kenderaan yang dilakukan sewenang-wenangnya di khalayak umum sehingga menimbulkan rasa tidak selamat di daerh berkenaan.
"Kita akan lakukan sedaya-upaya untuk meningkatkan tindakan pencegahan jenayah ini, " katanya yang dipetik dari media negara jiran itu semalam.
Selain itu, pihak berkuasa di negara itu juga akan memastikan pihak mereka menempatkan seberapa ramai anggota di kawasan-kawasan tumpuan umum bagi mencegah jenayah secara pro-aktif di sana.
Jakarta disenaraikan sebagai bandaraya paling tidak selamat di dunia oleh majalah ekonomi antarabangsa terkemuka, The Economist, pada Rabu baru-baru ini.
Mengulas mengenai kedudukan tersebut, pihak berkuasa di negara itu berpendirian bahawa senarai The Economist itu perlu dikaji semula kebenarannya ekoran keadaan sebenar di Jakarta tidaklah sebagaimana yang disangka penganalisis majalah berkenaan. -Kedahnews.com