KUALA LUMPUR – Walaupun sudah hampir 11 bulan berlalu, polis terus
menjalankan penyiasatan tentang kehilangan pesawat Malaysia Airlines
(MAS) Penerbangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapalnya, kata
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata kertas siasatan mengenainya tidak pernah ditutup.
“Penyiasatan masih berjalan dan kami tidak pernah menutup kes ini,” katanya apabila dihubungi Bernama di sini.
Nasib pesawat berkenaan yang hilang ketika dalam penerbangan ke
Beijing, China itu masih belum diketahui, walaupun pengumuman rasmi
dibuat bahawa laluannya berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang daripada radar setelah
berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah
malam 8 Mac 2014. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.
Pada 11 Mac tahun lepas, Polis Diraja Malaysia dan Interpol
mendedahkan bahawa dua lelaki yang menaiki pesawat itu dengan
menggunakan pasport curi serta dikenali sebagai rakyat Iran bernama
Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29,
tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
Kehilangan pesawat itu menjadi semakin misteri apabila beberapa hari
kemudian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sistem
komunikasi dan transponder Penerbangan MH370 sengaja dimatikan apabila
ia tiba di pantai barat semenanjung Malaysia dan antara pusat kawalan
trafik udara Malaysia dan Vietnam.
Khalid berkata siasatan polis bertumpu kepada empat perkara iaitu
kemungkinan pesawat itu dirampas, sabotaj, keadaan psikologi penumpang
dan anak kapal dan masalah peribadi yang dihadapi penumpang dan anak
kapal.
“Walaupun kami tidak mempunyai bukti konkrit tentang kes ini, tetapi
kami masih berbincang mengenainya dengan Jabatan Peguam Negara, termasuk
perkembangan dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya. – BERNAMA