Polisi Sekolah Melampau: Murid Dilarang Masuk Kelas Hanya Kerana Berbaju Kurung?

Hanya dengan memberi alasan anak perempuannya telah melanggar etika berpakaian di sekolah kerana mengenakan baju kurung, seorang bapa berbangsa India mendakwa, anak perempuannya itu telah dihalang untuk masuk ke kelas.

Menurut sumber, kejadian tersebut dikatakan berlaku di sekolah baru anaknya yang terletak di sekitar Cheras sejak Isnin hingga hari ini.

Kata bapa berkenaan, Lawrence Jayaraj, pihak sekolah terbabit hanya membenarkan pelajar wanita Melayu sahaja memakai baju kurung.

"Anak saya berpindah ke sekolah ini kerana lokasinya terletak di laluan ke tempat kerja saya. 

"Pada awal tahun ini, saya membelikan baju kurung kepada anak perempuan saya yang mana ia tidak pernah menjadi masalah," katanya yang dipetik dari sebuah portal hari ini.

Akibat dari larangan untuk anaknya masuk ke kelas, dia terpaksa ke sekolah tersebut dan mengambil anaknya semula.

Ujarnya Lawrence lagi, isu tersebut masih gagal diselesaikan antaranya dan guru penolong kanan sekolah itu kerana dia tetap bertegas dengan peraturan tersebut.

Tidak cukup setakat itu sahaja, Lawrence turut mendakwa, guru terbabit menyuruhnya mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mendapatkan persalinan sekolah baru buat anak perempuannya.

Namun demikian, ketika kejadian berlaku, pengetua sekolah berkenaan tidak berada di situ.

YB P Kamalanathan 11(1)

Mengulas berhubung insiden terbabit, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan dilaporkan telah meminta pihak berkenaan membawa isu tersebut ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) terdekat.

"Sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan di peringkat PPD, maka ajukan kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

"Jika ia masih tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri, maka saya sendiri yang akan campur tangan," katanya

Ujar Kamalanathan lagi, di bawah pengurusan Kementerian Pelajaran, terdapat kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh Malaysia dan adakalanya, ada pengetua yang membuat polisi sendiri tanpa kebenaran dari kementerian.