KUALA LUMPUR - Sebelas bahagian baharu yang diwujudkan dalam persempadanan semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka dapat digunakan pada pilihan raya Dun negeri itu akan datang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, laporan akhir bagi syor kajian semula persempadanan itu dijangka dapat disiapkan dan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibentangkan di Dewan Rakyat Mac ini jika pihaknya tidak menerima sebarang bantahan.
"Setakat ini SPR belum menerima sebarang bantahan atau cadangan daripada mana-mana pihak yang layak membuat bantahan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Bernama di sini.
SPR mula mempamerkan syor jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak yang ditambah itu pada 5 Januari lepas hingga 4 Februari ini di beberapa tempat di negeri itu.
Berikutan persempadanan semula itu, Dun Sarawak yang kini hanya 71 kerusi akan bertambah menjadi 82.
Sebelas bahagian baharu pilihan raya negeri yang disyorkan itu ialah N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu, N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Telian, N.63 Selirik, N.66 Murum, N.70 Samalaju dan N.78 Long Lama.
Pada satu sesi khas bersama media Jun lepas sempena 100 hari pentadbiran Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri diadakan lebih awal atau menunggu sehingga mandat Dun berakhir pada Jun 2016.
Abdul Aziz berkata jika terdapat bantahan, SPR akan menyemak semua bantahan yang diterima daripada pihak-pihak yang dibenarkan sahaja.
Selepas selesai semua proses semakan bantahan, syor itu akan dipamerkan sekali lagi, katanya sambil menyuarakan keyakinan bahawa persempadanan semula itu dapat digunakan untuk pilihan raya negeri Sarawak.
Pihak-pihak yang dibenarkan membuat bantahan ialah Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu, dan sekumpulan orang seramai 100 atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.
Menyentuh pewartaan Notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dun Sabah dan Semenanjung Malaysia, Abdul Aziz berkata ia masih belum ditetapkan.
"Kita masih menunggu keadaan banjir pulih sepenuhnya kerana keadaan sekarang masih belum sesuai," katanya.
Pewartaan tersebut yang pada awalnya dirancang untuk diwartakan Disember lepas terpaksa ditunda berikutan banjir yang melanda beberapa negeri.
Pewartaan tersebut yang pada awalnya dirancang untuk diwartakan Disember lepas terpaksa ditunda berikutan banjir yang melanda beberapa negeri.
Kajian semula persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003. - Bernama